Utusan bakal bernafas kembali - NUJ
Akhbar berbahasa Melayu tertua Utusan Malaysia, yang ditutup tahun lalu kerana berhadapan masalah kewangan, bakal hidup kembali dalam masa beberapa bulan akan datang.
Desas-desus bertiup susulan laman Facebook Utusan Online membuat hantaran dua hari lalu bahawa pemilik syarikat akhbar Media Mulia Sdn Bhd sedang mencari calon untuk mengambil jawatan editor, pemberita, penulis kreatif dan jurugambar.
Media Mulia dikatakan berkait dengan hartawan Syed Mokhtar Al-Bukhary, yang mana syarikatnya Aurora Mulia memiliki saham dalam Media Prima Bhd.
Setiausaha cawangan NUJ-Utusan, Muhammad Bashir Abu Bakar, ketika dihubungi, mengesahkan bahawa Utusan Malaysia mungkin memulakan operasinya seawal Mei tetapi tiada arahan untuk bekas pekerja itu kembali semula.
"Kekosongan jawatan itu terbuka kepada semua dan bekas pekerja telah digalakkan untuk memohon, tetapi tidak ada janji bahawa mereka akan diambil semula.
"Setakat yang say atahu, mereka perlu melalui proses temuduga yang sama seperti calon lain," kata Bashir sambil menambah tiga bekas editor Utusan Malaysia ditugaskan untuk menyusun semula penerbitan itu.
Bashir berkata ramai bekas pekerja telah memohon untuk bekerja dengan Utusan Malaysia di pejabat baru yang akan berada di ibu pejabat New Straits Times Press (NSTP) di Bangsar.
Media Prima memiliki NSTP, yang menerbitkan tiga akhbar nasional - Harian Metro, Berita Harian, dan New Straits Times.
Bagaimanapun, Bashir mengambil maklum bahawa terdapat persaingan sengit di kalangan calon, terutamanya bekas pekerja Utusan kerana spekulasi mengatakan editorial hanya akan mengambil 40 wartawan, 12 jurugambar, dan 12 artis grafik, yang akan memfokuskan pada edisi cetak.
Untuk rekod itu, Utusan Group mempunyai 815 pekerja sebelum menamatkan operasinya pada 31 Okt tahun lepas.
Pada November tahun lalu, Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof mengumumkan bahawa Utusan akan dilancarkan semula pada awal tahun 2020.
Utusan mula-mula terbit dalam tulisan Jawi pada tahun 1939 sebelum menukar kepada huruf roman pada 1967.
Akhbar itu rugi sejak 2012.
Pada Oktober tahun lepas, pengerusi eksekutif Utusan Melayu (Malaysia) Bhd pada masa itu, Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata syarikat tersebut tidak mampu membayar hutang.
Rentetan itu, Utusan memberhentikan kesemua pekerjanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai