Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bekas setiausaha agung Gerakan persoal jemputan buat 'PM paling rasis'

Bekas Setiausaha Agung Gerakan Liang Teck Meng tidak berpuas hati dengan jemputan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina parti itu di Kuala Lumpur Sabtu ini.

Liang turut memetik Presiden Gerakan Dominic Lau yang sebelum ini menyifatkan Mahathir sebagai "perdana menteri paling bersifat perkauman".

"PM paling rasis (memetik presiden) akan datang untuk meraikan Tahun Baru Cina dengan ahli Gerakan.

"Saya tertanya-tanya sama ada dia akan dapat lebih banyak tepukan atau kena boo ketika melangkah ke dalam dewan," kata Liang dalam kenyataan di Facebook malam ini.

Liang merujuk kepada kenyataan Lau sebelum ini yang menyifatkan Mahathir sebagai 'perdana menteri paling rasis dalam sejarah Malaysia' kurang daripada tiga bulan lalu.

Liang turut menyertakan tangkap layar kenyataan Lau pada 26 Okt tahun lepas. Kenyataan itu dibuat ketika Lau mengkritik Mahathir berhubung Kongres Kebangkitan Melayu.

Lau juga menuduh Mahathir memutar belit fakta di sebalik kongres itu.

Liang, yang meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung Gerakan pada November 2018 pernah menjadi ahli parlimen Simpang Renggam selama dua penggal.

Kenyataan Liang itu turut disertakan dengan tandapagar #gerakanislost dan#whereisyour principle.

Lau sebelum ini berkata bahawa tidak ada agenda politik di sebalik jemputan kepada Mahathir, dan ia hanya tradisi parti untuk menjemput perdana menteri bagi rumah terbuka Tahun Baru Cina.

Ketika ditanya sama jemputan itu akan menguatkan lagi khabar angin yang mengatakan Gerakan berhasrat menyertai PH, Lau berkata beliau lebih memilih untuk tidak memikirkan perkara itu pada masa ini.

"Ini adalah musim perayaan. Adalah tradisi Gerakan untuk menjemput perdana menteri untuk rumah terbuka," katanya kepada Malaysiakini.

Lau juga berkata Gerakan menerima surat daripada Jabatan Perdana Menteri semalam yang mengesahkan kehadiran Mahathir. Seorang pembantu Mahathir berkata perdana menteri itu "berkemungkinan besar" akan memenuhi jemputan berkenaan.