Soalan UPSR bocor: Hukuman penjara ke atas guru dibatal
Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini membatalkan sabitan dan hukuman penjara setahun terhadap seorang guru yang didakwa memiliki soalan bocor kertas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 selepas representasinya diterima oleh Peguam Negara.
Peguam Haresh Mahadevan memaklumkan kepada panel tiga hakim bahawa anak guamnya P. Uma Mageswari telah mengemukakan representasi pada Disember tahun lepas dan Peguam Negara menerima representasinya itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail, berkata arahan yang diberikan adalah untuk membenarkan rayuan Uma Mageswari.
Susulan permintaan pihak pendakwa raya itu, Hakim Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, yang mengetuai panel itu, membatalkan sabitan dan hukuman penjara Uma Mageswari.
Beliau juga mengarahkan wang jaminan berjumlah RM5,000 dikembalikan kepada Uma Mageswari.
Dua lagi hakim yang bersidang dalam panel itu ialah Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hanipah Farikullah.
Uma Mageswari, 33, yang digantung kerja berikutan sabitannya oleh Mahkamah Tinggi, merayu terhadap keputusan mahkamah pada tahun lepas yang mendapati dia bersalah atas tuduhan itu dan menjatuhkan hukuman penjara setahun.
Namun, dia dibebaskan dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin oleh Mahkamah Tinggi sementara menunggu pendengaran rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Sesyen pada awalnya melepaskan dan membebaskan Uma Mageswari tanpa memanggilnya untuk membela diri pada 2016. Bagaimanapun, susulan rayuan dikemukakan pihak pendakwaan, Mahkamah Tinggi mengarahkannya untuk membela diri.
Pada akhir kes pembelaan, Mahkamah Sesyen membebaskan Uma Mageswari daripada pertuduhan itu. Pihak pendakwaan kemudiannya merayu ke Mahkamah Tinggi yang kemudian mensabitkannya.
Uma Mageswari dituduh mempunyai imej salinan kertas peperiksaan UPSR bagi mata pelajaran Sains dalam telefon bimbitnya di sekolah tempat dia mengajar, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Keruh, Pengkalan Hulu, Perak pada 10 Sept 2014.
Dia dituduh mengikut Seksyen 8 (1) (c) (iii) Akta Rahsia Rasmi 1972.
Di luar mahkamah, Haresh memberitahu pemberita bahawa anak guamnya dibebaskan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai