Kalah di Kimanis, kami bertanggungjawab, bukan Mahathir - Shafie
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak harus dipersalahkan susulan kekalahan Warisan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Sabtu lalu.
Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal yang juga Presiden Warisan berkata, partinya mengambil sepenuh tanggungjawab berhubung kekalahan itu.
"Jangan salahkan sesiapa dengan apa yang berlaku di Kimanis, kami bertanggungjawab (atas kekalahan), bukan (Tun) Mahathir," katanya dalam satu sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.
Pada PRK Kimanis yang berlangsung 18 Jan lalu, calon BN calon BN, Mohamad Alamin menang dengan majoriti 2,029 undi.
Mohamad memperoleh 12,706 menewaskan calon Warisan, Karim Bujang yang memperoleh 10,677 undi.
PRK parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.
Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.
Pada PRU 2018, Anifah memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi.
Keputusan PRK Kimanis itu, menyaksikan perdana menteri menjadi sasaran pengkritik yang mahukan proses peralihan kuasa dilakukan segera ekoran kekalahan kali kelima berturut-turut parti kerajaan terhadap BN.
Sementara itu, Shafie berkata Warisan mendengar suara rakyat yang membuat keputusan di Kimanis menolak calon parti itu.
Katanya, beliau juga menerima kekalahan itu dan menghormati keputusan rakyat yang telah membuat pilihan.
"Kita akan teruskan perkhidmatan kita bukan hanya sekadar Parlimen Kimanis, tetapi seluruh negeri Sabah.
"Apa keputusan yang dilakukan pengundi Kimanis, yang bertanggungjawab adalah Warisan," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai