Timb KM cadang hantar pelarian di Sabah ke negara ketiga
Timbalan Ketua Menteri Sabah Wilfred Madius Tangau menimbulkan cadangan untuk menghantar pelarian ke negara ketiga dan bukan mengeluarkan Pas Sementara Sabah kepada mereka.
Ini selepas gabungan kerajaan negeri, yang diwakili oleh Warisan tewas pada pilihan raya kecil Kimanis Sabtu lepas.
Pembangkang telah menggunakan PSS sebagai isu pada PRK itu. BN memenangi pilihan raya kecil dengan majoriti 2,029 undi.
BACA BERKAITAN: Apa itu PSS, kenapa ia penting untuk PRK Kimanis?
Wilfred, yang mengetuai Upko, rakan sekutu Warisan dan PH berkata kerajaan Sabah perlu prihatin terhadap kehendak rakyat.
"Hasrat kerajaan untuk memperkenalkan PSS adalah mulia.
"Tetapi sentimen majoriti rakyat menentangnya, ini difahami memandangkan apa yang telah dialami dan dilalui Sabah selama lima dekad lalu.
"Hari ini, kita hidup dengan akibat daripada tindakan dan keputusan yang dibuat oleh para pemimpin terutamanya tokoh-tokoh yang tidak bertanggungjawab pada masa lalu.
"Sekarang kita melihat dan mendengar sentimen yang semakin meningkat dalam menentang cadangan kerajaan memperkenalkan PSS," katanya dipetik oleh Sabah News Today.
Mengambil kira kurangnya keyakinan orang ramai, Wilfred mencadangkan supaya pelarian dihantar pulang.
"Jika negara asalnya enggan menerima mereka, maka kemungkinan lain seperti menghantar pelarian ke negara ketiga perlu dipertimbangkan dan diteliti," katanya.
Sabah menyaksikan pertambahan jumlah pelarian dari Filipina pada tahun 1970 akibat konflik bersenjata wilayah selatannya di Minadanoa pada masa itu.
Kebanyakan keturunan mereka, yang lahir dan dibesarkan di Sabah, tidak mempunyai dokumen dan dianggap sebagai pendatang tanpa izin.
PSS bertujuan untuk menangani masalah pendatang tanpa izin di Sabah.
Walau bagaimanapun, rakyat Sabah bimbang jika ini akan menyediakan jalan untuk mereka mendapat kewarganegaraan dan mengubah demografi rakyat negeri itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai