Dah basi, Ramkarpal perlu henti tuding jari - Azalina
Kenyataan Ramkarpal Singh bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad perlu bertanggungjawab atas kekalahan PH pada lima PRK, mendapat bidasan daripada MP Umno Azalina Othman Said dan bekas pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan.
Kedua-dua tokoh ini berkicau di Twitter menyuarakan pendapat mereka, dengan MP Pengerang menggunakan ayat popular "Can I Advise you something?" (boleh saya bagi nasihat).
Frasa itu menjadi tular selepas SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan telefon bekas perdana menteri Najib Razak bersama beberapa individu, termasuklah isterinya Rosmah Mansor berkaitan skandall 1MDB.
Rosmah kedengaran memberitahu suaminya dengan nada marah: "Boleh saya bagi nasihat kepada kamu mengenai sesuatu?"
Pada ciapan maklum balas terhadap kenyataan Ramkarpal, Azalina menyindir: "Bolehkah saya memberi nasihat kepada kamu mengenai sesuatu, YB?
"Masa untuk menghentikan permainan menuding jari dan maju ke hadapan.
"Sudah basi," katanya.
Terdahulu, Ramkarpal (gambar, atas) berkata Dr Mahathir mesti bertanggungjawab atas kekalahan lima pilihan raya kecil yang dialami PH, termasuk di Kimanis, Sabah, pada hujung minggu lalu.
Mengulas mengenai hakisan sokongan terhadap gabungan itu dan amaran bahawa PH boleh menjadi kerajaan sepenggal, MP Bukit Gelugor berkata kenyataan perdana menteri sanggup bekerja dengan bekas musuh juga tidak baik untuk PH.
Bagi menangani kemerosotan sokongan ini, Ramkarpal berkata perlu ada tempoh masa yang jelas bagi Mahathir untuk menyerahkan tampuk kepimpinan negara kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim serta komitmen politik untuk memulakan reformasi yang dijanjikan dan menangani hubungan kaum yang semakin memburuk.
Apa jadi tanggungjawab bersama?
Sementara itu, Ambiga juga berkata beliau tidak setuju dengan Ramkarpal.
"Bagaimana dengan kejayaan lima lagi?" soalnya merujuk kemenangan yang diraih PH dalam pilihan raya kecil.
Beliau menegaskan bahawa Ramkarpal tidak boleh terus melancarkan kecaman terhadap pemimpinnya dan pada masa yang sama mempersoalkan sebab kenapa PH semakin lemah.
"Dan apa jadi dengan tanggungjawab kolektif? Kamu tidak boleh terus menyerang pemimpin kamu dan kemudian bertanya mengapa PH lemah.
"Misalnya, bolehkah kamu melakukan hal ini di dalam parti kamu tanpa mendapat akibat? Maaf Ram kawan saya. Saya tidak bersetuju dengan kamu di sini," katanya.
Sabtu lalu, Ambiga mengingatkan PH, sekiranya kerajaan tidak melaksanakan beberapa pembaharuan utama pada Jun ini, rakyat akan "turun ke jalan" sekali lagi.
Sabtu lepas, Ambiga memberi amaran kepada kerajaan bahawa rakyat akan dibawa turun ke jalan-jalan jika pembaharuan utama tidak dilaksanakan pada bulan Jun.
"Ada di antaranya yang telah digubal, jika perkara-perkara ini tidak dapat dilakukan (pada) bulan Jun, ini adalah kegagalan sepenuhnya komitmen Pakatan Harapan untuk melakukan pembaharuan.
"Kami tak pernah terfikir untuk turun ke jalan berkaitan kerajaan ini, tapi jika perlu dilakukan, ia perlu dilakukan.
"Ini bukan kerana kerajaan, ini kerana rakyat," kata Ambiga.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai