Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pengguna alu-alukan penurunan kadar tol

Orang ramai terutamanya yang kerap melakukan perjalanan jarak jauh menggunakan lebuh raya mengalu-alukan langkah kerajaan mengurangkan kadar tol sebanyak 18 peratus yang sekali gus membantu mereka menjimatkan perbelanjaan.

Rata-rata mereka yang ditemui Bernama meluahkan rasa gembira dengan langkah itu kerana pengguna yang selalu menggunakan lebuh raya boleh menjimatkan perbelanjaan tol yang termasuk dalam kos pengangkutan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan menjual Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Malaysia Berhad tetapi telah memutuskan untuk mengurangkan kadar tol sebanyak 18 peratus.

Seorang peniaga makanan, Rozilawati Ahmad Refain , 48, berkata pengurangan sebanyak 18 peratus itu agak besar baginya yang kerap berulang-alik ke Kuala Lumpur melawat anaknya yang belajar di sana bermula dari Tol Hutan Kampung hingga ke Jalan Duta dengan kos tol RM56.30 sehala.

Rozilawati berkata beliau boleh jimat hampir RM11 iaitu kira-kira RM10.20 sehala selepas pengurangan tol itu dilaksanakan nanti sekali gus jumlah wang yang dapat dijimatkan itu boleh digunakan untuk membeli keperluan lain.

"Kami boleh jimat lebih kurang RM22 untuk pergi balik, ini besar bagi kami yang boleh kami gunakan untuk keperluan lain seperti membeli makanan, simpan atau beli keperluan lain. Terima kasih banyak kerajaan, Alhamdulillah kalau betul-betul penurunan 18 peratus ini," katanya.

Berkongsi pendapat sama, seorang mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) Mohd Nazrim Mustafa, 27, berkata dia juga boleh menjimatkan perbelanjaan tol hampir RM12 iaitu RM11.79 sehala dari UPM ke Alor Setar untuk pulang ke rumahnya sebulan sekali daripada pengurangan kadar tol itu.

Mohd Nazrim berkata beliau boleh menggunakan wang yang dapat dijimatkan itu untuk perbelanjaan lain sebagai seorang mahasiswa.

"Selalunya perbelanjaan yang saya perlu keluarkan sebanyak lebih kurang RM70 (RM65.50) untuk tol, dengan pemberian 18 peratus diskaun ini saya dah boleh jimat lebih kurang RM12 (RM11.79) dan ini merupakan satu perkara yang bagus dapat menjimatkan wang daripada segi penggunaan tol," katanya.

Sementara itu, seorang pemandu lori Mohd Sufyan Tajudin, 32, pula berkata pengurangan kadar tol itu nanti membolehkannya menjimatkan perbelanjaan tol hampir RM15 sehala iaitu RM14.94 bagi perjalananan dari Alor Setar ke Kuala Lumpur dengan lorinya yang dikategorikan kenderaan kelas dua.

Beliau berkata sekiranya seminggu dua kali perjalanan dia dapat menjimatkan wang hampir RM60 bagi dua hala seminggu dengan anggaran boleh menyimpan RM240 sebulan manakala setahun RM2,880 yang boleh dijadikan sebagai wang simpanan untuk berkahwin tahun hadapan.

"Saya yang kerja bawa lori ini ringan sikit beban, saya dapat jimat dalam lebih kurang RM15 satu hala dari Alor Setar ke Kuala Lumpur keluar melalui tol Jalan Duta.

"Sekarang saya kena bayar tol lebih kurang RM82 (RM83 sehala). Jadi bagi saya ini satu berita yang baik, jimat hampir RM15 ini banyak juga, rasa ia sedikit lega untuk kami pemandu lori," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi, Mohd Ridzuan Abdullah, 44, yang bekerja sendiri berkata beliau yang berulang-alik seminggu sekali dari Alor Setar ke Kamunting, Perak atas urusan kerja dapat jimat hampir RM4 sehala jika kadar tol berkurangan sebanyak 18 peratus nanti dan penjimatan itu adalah sesuatu yang bagus untuk dirinya sebagai rakyat.

"Buat masa ini saya kena bayar tol dari Kamunting ke Juru RM8.50, Juru ke Alor Setar RM11.40, bermakna kita jimat di situ dalam RM3 ke RM4, bermakna bagus untuk rakyat, katanya.

- Bernama