Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tiada ahli lapor kargo minyak sawit ditahan di pelabuhan India - SEA

Tiada ahli lapor kargo minyak sawit ditahan di pelabuhan India - SEA

Shakir Husain

Persatuan pengimport minyak sayuran India mengulas laporan media mengenai beribu-ribu tan metrik minyak sawit ditapis terkandas di pelabuhan negara itu.

Kumpulan industri Solvent Extractors' Association (SEA) of India berkata ia tidak menerima sebarang laporan kargo minyak sawit ditapis dari Malaysia ditahan di pelabuhan India disebabkan masalah pelepasan kastam.

SEA adalah badan perdagangan yang mewakili pengimport minyak sayuran India.

"Kami tidak menerima sebarang maklumat daripada ahli-ahli kami bahawa kargo mereka ditahan,” kata Pengarah Eksekutif SEA, BV Mehta kepada Bernama.

Terdahulu agensi berita Reuters, yang memetik sumber tidak dinamakan melaporkan beribu-ribu tan metrik minyak sawit ditapis terkandas di beberapa pelabuhan di India apabila kerajaan meletakkan import olein sawit RBD dalam senarai barangan ‘disekat’ awal bulan ini.

"Biasanya ahli-ahli kami akan memaklumkan kepada kami dan meminta bantuan sekiranya mereka berdepan masalah dengan pelepasan kastam,” kata Mehta.

Pada 8 Jan, India, pengimport minyak boleh dimakan terbesar dunia mengenakan sekatan ke atas minyak sawit ditapis dari negara luar untuk membantu penapis tempatan.

Pengimport kini perlu mendapatkan kebenaran khas kerajaan untuk membeli produk minyak sawit ditapis.

Mehta berkata beliau tidak mengetahui sama ada kerajaan telah mengeluarkan sebarang lesen sejak sekatan itu dikenakan.

"Tidak ada sebarang masalah dengan minyak sawit mentah. Bagi olein sawit RBD, sekiranya bil muatan dikeluarkan sebelum arahan kerajaan, kargo sepatutnya lepas,” katanya.

Laporan media yang memetik para pegawai tidak dinamakan mendakwa bahawa kerajaan India kecewa dengan pendirian Malaysia berhubung isu Kashmir dan mengehadkan import minyak sawit dari negara itu sebagai bantahan.

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan India Piyush Goyal berkata minggu lepas kerajaan Bharatiya Janata Party (BJP) tidak mengenakan sebarang sekatan ke atas import dari Malaysia ataupun menimbang untuk mengambil langkah sedemikian.

- Bernama