Cikgu Melayu tolong Cina dapat pujian semua bangsa
Seorang guru sekolah yang menukilkan kisahnya membantu sebuah keluarga Cina kurang bernasib baik mendapat pujian warga maya.
Mohd Fadli Salleh pada hantaran di media sosial berkata pada mulanya dia dihubungi oleh seorang wanita bernama "Kak Yati" mengenai keluarga tersebut di sebuah PPR yang tidak dinamakan di Kuala Lumpur.
"Cikgu. Saya Kak Yati dari PPR xxxx. Ada satu keluarga Cina di sini setiap hari datang tumpang mandi rumah saya sebelum ke sekolah. Boleh ke cikgu bantu keluarga ni?"
"Bak alamat. Kalau kebetulan saya free saya pergi," katanya pada catatan di Facebook.
Bercerita lanjut, Mohd Fadli berkata keluarga itu bergantung kepada si isteri yang bekerja sebagai tukang cuci dan mempunyai dua anak yang masih bersekolah, manakala si suami menghadapi masalah kesihatan.
"Rumah mereka bagai tongkang pecah. Eh tak. Tongkang pecah lagi elok. Si ayah tak boleh kerja berat, ada beberapa penyakit yang agak kronik. Hanya isterinya yang kerja sebagai cleaner di sebuah hotel di Ampang.
"Anak-anak mereka masih bersekolah. Comel-comel semuanya. Datang bersalam dengan aku dan kami borak macam ayam dan itik. Haha.
"Air rumah dipotong akibat tak mampu nak bayar sewa rumah. Tertunggak hingga beribu bahkan notis keluar rumah pun dah sampai," catatnya.
Menurut Fadli lagi, walaupun keluarga itu berada dalam keadaan susah namun "pendidikan anak-anak" mereka tidak abaikan.
"Waktu aku sampai, dua anak mereka tiada di rumah. Pergi kelas tambahan percuma yang dianjurkan oleh persatuan penduduk.
"Setelah duduk dan berborak, aku putuskan aku perlu bantu keluarga ini," jelasnya.
Fadli dibantu "Kak Yati" dan kumpulan kebajikan Dana Kita akhirnya berjaya menyambung semula bekalan air ke rumah keluarga itu.
"Akhirnya kami berjaya deal untuk air disambung semula dengan syarat bayaran sewa rumah perlu berganda.
"Air dah settle, tiba masa nak buang semua sampah sarap," ceritanya.
Kumpulan Dana Kita menghabiskan masa dua minggu bergotong royong membersihkan rumah keluarga itu, jelas Fadhli.
"Maka team gerila Dana Kita turun padang dua minggu bergotong royong bersihkan rumah uncle ini.
"Tiga lori sampah diperlukan untuk bersihkan tau. Fuh, mujur ada team gerila ni," catatnya.
Moga Tahun Baru Cina disambut meriah
Fadli menyatakan rasa gembira kerana keluarga itu kini pasti dapat menyambut Tahun Baru Cina 2020 dengan meriah.
"Dan hari ini, rumah mereka telah ada bekalan air bersih. Bebas dari sampah sarap. Dinding kami cat semula. Tingkap dipasang langsir. Lantai diletak tikar. Bantal dan tilam baru juga diberi.
"Sempena Perayaan Tahun Baru Cina kali ini, keluarga mereka dapat menyambutnya dengan kemeriahan yang sangat berbeza.
"Tidak kisah apa agama mereka. Apa pula bangsa mereka. Namun mereka tengah susah, mereka tengah tersepit, mereka tengah memerlukan pertolongan dan bantuan," catatnya lagi.
Setakat berita ini ditulis hantaran Mohd Fadli di Facebook telah mendapat lebih 34k tanda suka dan rata-rata netizen memuji usaha guru itu serta kumpulan kebajikan Dana Kita.
"Alhamdulillah. Menabur budi tanpa mengenal bangsa dan agama... Tahniah untuk cikgu dan team yang terlibat," ulas pemilik akaun Facebook, Ayiene Love Mfh.
Andrew Seah Tak pula berkata tidak sangka akan ada "insan Melayu menolong keluarga Cina bila percaturan politik yang begitu rasis sedang melanda kita."
"Mulia hatimu cikgu... moga sentiasa diberi kesihatan yang baik dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan dunia akhirat cikgu," komen Roslizaida Deraman.
Sementara itu, Rajinder Singh mengucapkan tahniah kepada usaha guru itu dan kumpulan kebajikan Dana Kita.
"Usaha begini akan menyerlahkan lagi keindahan agama Islam. Teladan dan contoh yang diberikan harus dipuji dan dicontohi.
"Kalau cerita begini ditiupkan di media-media utama, aman harmoni sentosa negara kita ini. Tahniah Dana Kita," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai