Lim: Harapan rakyat tinggi, PH perlu kerja lebih keras
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata PH menerima keputusan rakyat pada pilihan raya kecil Kimanis semalam yang dimenangi BN dengan majoriti lebih 2,000 undi.
Walaupun tewas, Lim berkata DAP akan terus menyokong Shafie Apdal sebagai ketua menteri Sabah.
"Saya yakin Shafie dan semua wakil rakyat PH akan bekerja lebih keras lagi, ini perlu diterapkan kepada semua wakil rakyat di negara ini untuk terus bekerja lebih keras bagi memenuhi harapan rakyat," kata Lim, yang juga setiausaha agung DAP.
"Terdapat pemenang dan yang kalah dalam semua pilihan raya, dan kami faham orang ramai mengharapkan lebih banyak lagi daripada kami, kami berharap dapat memenuhi harapan ini dengan sebaik mungkin," katanya.
Beliau berkata demikian di Seberang Jaya pada sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan cek RM100 kepada 660 kanak-kanak sekolah rendah di Bagan, kawasan parlimennya.
Lim diminta mengulas mengenai PRK semalam, di mana calon BN Mohamad Alamin memenangi pilihan raya kecil Kimanis dengan majoriti 2,029 undi.
Alamin meraih 12,706 undi berbanding 10,677 undi yang diperolehi oleh calon Warisan, Karim Bujang.
Pada pilihan raya umum 2018, Anifah Aman yang mewakili BN menang kerusi itu dengan majoriti tipis 156 undi, mendapat 11,942 undi.
Dalam pilihan raya itu, Karim memperolehi 11,786 undi, iaitu lebih 1,109 undi berbanding pilihan raya kecil semalam.
Ditanya jika keputusan PRK Kimanis dapat menjadi petunjuk masa depan PH pada pilihan raya umum 2023 akan datang, Lim menjawab tidak bersetuju dengan cadangan itu.
"Kami kalah banyak pilihan raya sebelum PRU14, tetapi kami mengejutkan semua orang dan bahkan diri sendiri apabila kami muncul pemenang pilihan raya Mei 2018, kami juga berjaya mengubah kerajaan," kata Lim.
Lim berkata beliau mengambil maklum apabila PH mula mengambil alih pentadbiran, jangkaan orang ramai sangat tinggi, tetapi banyak "perkara sedang bergerak."
Beliau mendakwa pembaharuan yang tidak pernah berlaku sebelum ini sedang dilaksanakan seperti pengurangan kadar tol, Malaysia menjadi sebuah negara demokrasi, bukan lagi mengamalkan kleptokrasi, manakala kebebasan dan hak-hak demokratik dihormati.
"Sudah tentu kami perlu berdepan cabaran (isu) perkauman dan (golongan) pelampau, kerana mereka mempunyai kebebasan yang lebih tinggi, mereka juga boleh membangkitkan kebencian kaum dan agama.
"Ini adalah sesuatu yang perlu kita balas dengan hujah, kekuatan logik akal dan hasil (dasar dan program PH), yang kami mahu tunjukkan.
"Saya pernah kata sebelum ini dan akan menyebutnya sekali lagi, ekonomi tahun ini akan menjadi lebih baik kerana hasilnya akan mula nampak pada tahun ini," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai