Zuraida akan jawab surat tunjuk sebab
Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin akan menjawab surat tunjuk sebab yang diterimanya dari Lembaga Disiplin parti itu, 15 Januari lalu.
Bagaimanapun, menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu berkata beliau tidak dapat mendedahkan apakah isu-isu yang dibangkitkan dan memberi bayangan ia ada kaitan dengan ucapan berapi yang dibuatnya pada majlis makan malam di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur tahun lalu.
Majlis itu mengumpulkan kira-kira 2,000 penyokong Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.
“Saya terima surat bertarikh 15 haribulan dan saya diberi tempoh 14 hari.
“Jadi, Insya-Allah saya akan menjawab isu yang dibangkitkan, cuma saya tak boleh sebutkan apa isunya ketika ini.
“Dan insya-Allah segala yang saya jawab itu, apa yang penting itu segala apa yang saya ucapkan di Renaissance itu adalah benar. Itu yang penting,” katanya ringkas mengulas surat tunjuk sebab yang diterimanya.
Beliau berkata demikian selepas mengedarkan limau sempena sambutan Tahun Baru Cina di Pasar Pekan Ampang, Selangor. Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali turut menyertai Zuraida pagi ini.
Semalam, setiausaha agung parti itu, Saifuddin Nasution Ismail berkata parti telah memberikan surat tunjuk sebab kepada Zuraida.
Kata ahli parlimen Kulim - Bandar Baru itu, pemimpin kanan PKR berkenaan juga diberikan tempoh 14 hari untuk menjawab surat tersebut.
Bagaimanapun, Saifuddin enggan memberikan maklumat lanjut mengenai surat tersebut, termasuk alasan ia dikeluarkan, kerana ia dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kassim.
Semasa berucap ketika majlis makan malam pada 8 Disember lalu, Zuraida mendakwa Presiden PKR, Anwar Ibrahim cuba meyakikannya bahawa video seks yang didakwa memaparkan Azmin adalah betul.
Zuraida turut berkata Anwar juga cuka meyakinkannya dengan mendakwa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah meminta presiden PKR itu untuk memecat Azmin.
Pada ketika itu Zuraida berkata beliau tidak takut sekiranya dipecat daripada PKR kerana membuat kenyataan menentang Anwar, setiausaha agung parti Saifuddin Nasution dan beberapa pimpinan lain.
Sementara itu, Zuraida yang juga MP Ampang menolak desakan 10 pengerusi PKR negeri supaya lembaga disiplin membuat keputusan memecatnya.
"Itu biar orang lain layanlah. Itu bukan standard (layan desakan berundur) saya,” katanya ringkas.
Beliau juga memberitahu akan menghadap Lembaga Disiplin PKR.
“Insya-Allah saya akan berdepan lembaga disiplin dan saya harap mereka buat kerja mereka. Kita tahu pengaruh kepimpinan parti dan yakin mereka ini adil.
"Jadi, mereka akan memberi penghakiman yang adil kepada saya,” katanya.
Bagaimanapun, ketika disoal sama ada beliau akan hadir ke sidang mesyuarat parti seterusnya, anggota Parlimen Ampang itu berkata akan melihat perkembangan semasa.
“Kita lihat apa perkembangan semasa,” katanya ringkas.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai