Asyraf yakin pengundi Kimanis 'di luar putih dalam biru'
PRK KIMANIS | Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki yakin pengundi Kimanis akan bersama BN meskipun mereka memakai baju Warisan ketika kempen.
Beliau berkata pengundi yang ditemuinya ketika berkempen di kampung memberitahunya perkara ini.
"Apa yang mereka katakan kepada kami apabila pemuda-pemuda turun di pusat daerah mengundi (PDM), mereka kata luar putih dalam biru.
"Itu dah jadi mentera dan kita harap mentera itu betul-betul diterjemahkan dalam pengundian hari esok," katanya ketika ditemui di Kimanis, hari ini.
Asyraf yang juga bekas timbalan menteri di jabatan perdana menteri mengiringi bekas pedana menteri Najib Razak berkempen di Kampung Kabang.
Turut sama calon BN, Mohamad Alamin.
Esok lebih 29, 644 pengundi Parlimen Kimanis akan membuat keputusan sama ada memilih calon BN Mohamad ataupun calon Warisan Karim Bujang sebagai wakil rakyat baru mereka.
PRK parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.
Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.
Pada PRU 2018, Anifah memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi.
Dalam pada itu, Asyraf mendakwa meskipun "disogok" Warisan, pengundi muda akan tetap bersama BN.
Katanya, Pemuda Umno dapat mendegar keluhan anak muda di Kimanis yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan baru.
"Kita kenal pasti orang muda, kita pastikan ada komunikasi, kalau dia luar (Kimanis) kita telefon.
"Kita dapat dengar mereka luahkan kemarahan, anak muda Kimanis ramai menganggur, sebab itu Warisan gunakan kaedah sogokan, tapi mereka tidak bodoh," dakwanya.
Mengulas mengenai laporan beberapa kajian yang menjangkakan Warisan akan memenangi PRK Kimanis esok, Asyraf berkata, beliau menghormati sebarang kajian yang tidak memihak kepada calon BN.
Baginya, laporan itu memberi semangat kepada BN untuk meningkatkan lagi gerak kerja mereka bagi memenangi hati pengundi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai