Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kajian: Sedikit memihak Warisan, tapi BN mampu cipta kejutan

PRK KIMANIS | Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSII) meramalkan calon Warisan, Karim Bujang memiliki sedikit kelebihan untuk memenangi pilihan raya kecil Kimanis.,

Bagaimanapun badan itu berpendapat calon BN Mohamad Alamin tidak mustahil mampu mencipta kejutan di saat akhir.

Kesimpulan itu dibuat berdasarkan kajian tatap muka terhadap 297 responden mewakili semua kaum, umur dan jantina membabitkan 162 responden di DUN Bongawan dan 135 responden di DUN Membakut.

Ketua Pegawai Eksekutif TSII, Wan Mat Sulaiman, berkata kaji selidik itu mendapati 44.78 peratus responden menyatakan Warisan berjaya melaksanakan manifestonya di Sabah, manakala 44.11 peratus lagi berpendapat kehidupan mereka bertambah baik selepas Warisan mentadbir Sabah dan Pakatan Harapan (PH) mentadbir Malaysia.

Sebanyak 39.06 peratus responden menyatakan Warisan adalah parti yang paling mampu memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah, termasuk dalam isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Bagaimanapun beliau berkata kaji selidik itu mendapati calon BN masih berpeluang membuat kejutan memandangkan ramai pengundi masih belum membuat keputusan mereka.

"Kewujudan ramai pengundi yang masih belum membuat keputusan untuk memilih calon mana ini terlihat bila sebilangan responden memasang kedua-dua bendera Warisan dan BN di sekitar rumah mereka kerana diminta berbuat demikian oleh kedua-dua pihak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, kajian TSII mendapati 36.03 peratus responden menyatakan mereka tidak pasti sama ada calon Warisan paling mereka senangi atau tidak dan 29.63 peratus responden menyatakan mereka tidak pasti sama ada PH adalah pakatan yang paling mampu memperjuangkan kepentingan rakyat Malaysia atau tidak.

Kajian itu juga menunjukkan 28.96 peratus responden menyatakan tidak pasti sama ada kehidupan mereka bertambah baik selepas Warisan memerintah Sabah dan PH mentadbir Malaysia. 

Selain itu 28.62 peratus responden juga tidak pasti sama ada Warisan mampu memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah, termasuk dalam isu MA 63, atau sebaliknya.

Sementara itu, terdapat tujuh petunjuk yang membayangkan bahawa calon Warisan berdepan cabaran dalam PRK Kimanis ini.

"(Antaranya) 77.10 peratus responden menyatakan pemberian wang, sumbangan dan janji pembangunan tidak akan mempengaruhi undi mereka.

"Berdasarkan maklum balas responden, Warisan terkedepan dalam memberi wang, sumbangan dan janji pembangunan kepada pengundi, tetapi penemuan ini menunjukkan strategi begini tidak lagi berkesan untuk memenangi hati pengundi," katanya.

Kaji selidik itu juga mendapati 64.31 peratus responden menyatakan mereka tidak setuju dengan perlaksanaan pas sementara Sabah (PSS).

PRK parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan

Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU 2018, Anifah memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis iaitu sebanyak 156 undi.