Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Padah samun kedai: Juvana dipenjara 66 bulan, 5 sebatan

Padah menyamun lima kedai serbaneka bersenjatakan pisau pemotong daging, kapak dan fork lock, seorang pesalah juvana dipenjara 66 bulan dan lima sebatan oleh dua Mahkamah Sesyen berasingan di Kuala Lumpur, hari ini.

Hakim Izralizam Sanusi dan Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Shahrul Haikal Laysabri, 21, selepas dia mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan samun berjumlah RM1,077.05.

Di hadapan Hakim Izralizam, Muhammad Shahrul Haikal dijatuhkan hukuman penjara masing-masing lima tahun dan satu sebatan bagi setiap tiga pertuduhan manakala di hadapan Hakim Emilia Kaswati, dia dipenjara masing-masing lima tahun dan 66 bulan serta satu sebatan bagi setiap dua pertuduhan.

Kedua-dua mahkamah masing-masing memerintahkan hukuman penjara berjalan secara serentak dan mengarahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 27 Nov tahun lepas.

Oleh itu, tertuduh akan menjalani hukuman penjara selama 66 bulan dan lima sebatan.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di sekitar Cheras di antara 28 Okt dengan 16 Nov tahun lepas mengikut Seksyen 392/ 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman penjara yang singkat dan berjalan serentak dengan alasan dia telah insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.

Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan dan Noor Dayana Mohamad memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran mengambil kira faktor keselamatan awam.

Terdahulu, Hakim Izralizam menasihati tertuduh supaya tidak mengulangi kesilapan sama serta menjadi orang yang berguna selepas dibebaskan kelak.

Tertuduh kini sedang menjalani hukuman bagi kesalahan curi di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan di Pusat Koreksional Puncak Alam yang dijangka berakhir September tahun ini.

- Bernama