Pemegang PSS boleh ke semenanjung tak lebih sebulan - Azis
PRK KIMANIS | Pemegang Pas Sementara Sabah (PSS) dibenarkan ke semenanjung Malaysia tidak lebih sebulan jika mendapat kebenaran, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamaan.
"Pemegang kad PSS boleh ke semenanjung dengan keizinan tidak lebih daripada tempoh sebulan," katanya ketika ditemui di majis sambutan tahun baru Cina di Kimanis, petang tadi.
Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bekas menteri BN, Rahman Dahlan yang mempertikaikan kenapa pemegang PSS tidak dibenarkan ke semenanjung.
"Atas sebab-sebab dan perkara yang tertentu, contohnya jika faktor memerlukan perubatan di semenanjung.
"Cuma bila semua pemegang IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci berubah ke PSS, pemegang PSS ini boleh bergerak ke semenanjung dengan kelulusan pengarah imigresen Sabah," tambah Azis.
Pada 14 Jan lalu, Rahman menyuarakan bantahannya terhadap PSS berkata kerajaan sepatutnya membenarkan pemegang pas itu untuk ke semenanjung jika benar-benar ingin melaksanakannya.
Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata, tindakan kerajaan mengehadkan pergerakan pemegang PSS di Sabah sebagai bukti ia tidak selamat.
"Kita mahu supaya pemegang kad PSS ini dibenarkan untuk terbang ke semenanjung mencari kerja dan tinggal di situ, kerana ia adalah dokumen rasmi.
"Sepatutnya semenanjung perlu berkongsi beban (masalah pendatang asing) dengan rakyat Sabah. Kenapa dihadkan kepada negeri Sabah?" Soal Rahman.
PSS ialah dokumen baru Jabatan Imigresen yang dikeluarkan terhadap pendatang asing, bagi menggantikan dokumen sedia ada iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.
Pemegang IMM13 ialah pelarian Filipina yang melarikan diri ke Sabah pada 1970-an susulan konflik bersenjata di Mindanoa. Pendatang ekonomi, sebaliknya diberikan Kad Burung-Burung pada tahun 1980-an.
Selainnya, diberikan kad Sijil Banci oleh Pasukan Petugas Khas Persekutuan pada 1990-an.
Mengulas lanjut, Azis turut mempersoalkan kenyataan Rahman apakah pemimpin Umno itu rela sekiranya pelarian Rohingya misalnya yang memegang kad UNCHR dari semenanjung dibenarkan bergerak ke Sabah.
Sementara itu Ketua Menteri Sabah ketika berkempen berkata, rakyat negeri itu tidak memerlukan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan BN sebelum ini.
Sebaliknya kata Shafie, rakyat Sabah memerlukan lebih banyak peluang pekerjaan dan bukannya bantuan bernilai kira-kira RM2,000 setahun seperti dicadangkan BN.
"(BN kata) rakyat Sabah perlu BR1M, dia (BN) mari sini cakap kalau BN perintah lagi akan dapat BR1M RM2000, yang kita perlu adalah kerja," kata Shafie.
Ditanya mengenai bantahan terhadap PSS yang digerakkan sebuah NGO di pekan Membakut hari ini, Shafie berkata ia tidak mewakili suara majoriti rakyat Sabah.
Katanya lagi, sepatutnya kempen PRK Kimanis dimanfaatkan untuk berkempen dan bukannya mengadakan bantahan sedemikian.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai