Terengganu jangka terima bayaran royalti pertama Mac ini
Kerajaan negeri menjangkakan akan menerima bayaran pertama Wang Royalti Petroleum (WTP) sebanyak kira-kira RM700 juta bagi tahun ini pada Mac.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bagaimanapun jumlah itu belum ditolak pemotongan hutang kerajaan negeri kepada kerajaan pusat yang ditetapkan pada kadar 25 peratus.
"WTP setiap tahun kita akan dapat dua kali setahun. Yang pertama bulan Mac disusuli dengan September.
"Kita jangka bulan Mac ini terima RM700 juta lebih, tetapi itu belum termasuk hutang 25 peratus kerajaan negeri dengan kerajaan pusat yang ditolak daripada WTP," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, hari ini.
Tahun lepas, kerajaan negeri menerima sebanyak RM1.277 bilion WTP dari kerajaan pusat yang dibayar secara berperingkat mulai Januari hingga September.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai