‘Surat haram pesta Ponggal untuk kurangkan kebimbangan ibu bapa’
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan pengeluaran surat kontroversi berkaitan status “haram” pesta Ponggal bagi orang Islam dibuat bagi meredakan kebimbangan ibu bapa.
“Merujuk kepada surat KPM bernombor rujukan KPM. 100-1/3/2 (64) bertarikh 13 Januari 2020, surat ini dikeluarkan bagi mengurangkan kebimbangan pihak ibu bapa murid beragama Islam dalam pelibatan anak-anak mereka semasa sambutan perayaan tersebut,” menurut kementerian.
Surat dua halaman kepada semua pengarah pendidikan negeri itu mengingatkan kepada keputusan Mesyuarat Panel Pakar Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada April tahun lalu.
Menurut surat dari pegawai kanan kementerian itu juga, haram bagi orang Islam menyertai pesta Ponggal terutamanya upacara memasak nasi susu.
Bagaimanapun, kata KPM, jika terpaksa orang Islam boleh hadir dengan syarat tidak terlibat dengan upacara keagamaan dengan syarat:
- Tidak memakai pakaian khas yang merujuk kepada perlambangan agama seperti pakaian sami Hindu.
- Tidak memakai barangan yang memiliki simbol khas agama lain seperti rantai dan kalungan bunga serta membuat tanda keagamaan di dahi.
- Tidak terlibat dengan upacara dalam apa jua bentuk dan keadaan
- Tidak masuk rumah ibadat ketika upacara agama sedang berlangsung.
- Tidak memaki, mencaci serta menghina tuhan agama Hindu.
- Harus mengucapkan selamat kepada rakan dan jiran tanpa niat membelakangkan agama Islam.
Dalam kenyataan hari ini, kementerian berkata tidak pernah menghalang perayaan itu diadakan di sekolah.
“KPM menyedari bahawa sekolah adalah tempat untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
“Budaya dan adat resam antara kaum perlu diketahui, difahami dan dihormati oleh semua pihak termasuk pentadbir sekolah, guru-guru dan murid-murid,” menurut KPM.
Untuk menyemai semangat toleransi, persefahaman dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, KPM juga menggalakkan penyertaan warga sekolah dalam semua aktiviti silang budaya yang dijalankan.
“KPM juga mengingatkan pihak sekolah agar mematuhi peraturan-peraturan yang sedang berkuat kuasa jika berhasrat untuk mengadakan sambutan perayaan yang tertentu di sekolah,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai