Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pesta Ponggal bukan perayaan agama, kata Kula

Pesta Ponggal yang dirayakan masyarakat Tamil bukanlah satu perayaan agama, kata Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran, susulan tersebarnya pekeliling Kementerian Pendidikan yang memaklumkan Jakim memutuskan orang Islam diharamkan menyertainya.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas pekeliling itu. Berdasarkan imej yang beredar, pekeliling itu dipercayai ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Adzman Talib.

Kula berkata beliau akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat kabinet esok.

"Tidak betul untuk label (Pesta Ponggal) sebagai perayaan agama, kerana ia tiada signifikan agama tetapi sambutan tahun baru untuk masyarakat Tamil.

"Matlamat Ponggal ialah untuk memupuk kesatuan di kalangan orang Tamil demi pengekalan budaya. Ia juga bertujuan menambah baik kehidupan masyarakat itu dan generasi mereka akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Pendidikan tetapi berlum berjaya mendapatkan komen kementerian itu berkenaan perkara ini.

Dalam pekeliling itu, yang tular di media sosial hari ini, Adzman dikatakan memetik keputusan mesyuarat Panel Pakar Syariah (PPS) Jakim yang memutuskan orang Islam haram menyertai Pesta Ponggal.

Beliau juga meminta semua pengarah pendidikan di Jabatan Pendidikan Negeri untuk menyampaikan perkara itu antaranya kepada pejabat pendidikan daerah, pengetua dan guru besar.

"Dimaklumkan bahawa mesyuarat PPS Jakim kali ke-100 yang bersidang pada 8 dan 9 April 2019 memutuskan berkaitan hukum Muslim menyertai Pesta Ponggal.

"Ponggal adalah perayaan bagi penganut Hindu. Oleh yang demikian, Jakim memutuskan haram bagi orang Muslim menyertai Pesta Ponggal terutama upacara memasak nasi susu," katanya dalam pekeliling bertarikh 13 Januari 2020.

Beliau turut menyatakan cadangan Jakim jika orang Islam tiada pilihan untuk menghadiri perayaan itu, antaranya:

  • Tidak memakai apa jua pakaian khas yang merujuk kepada perlambangan agama seperti pakaian sami Hindu.
  • Tidak memakai apa jua peralatan yang memiliki simbol khas agama lain seperti rantai, membuat tanda keagamaan di dahi dan memakai kalungan bunga.
  • Tidak terlibat dalam apa jua ritual yang dilakukan dalam apa jua bentuk dan keadaan sekalipun.
  • Tidak memasuki rumah ibadat mereka ketika upacara ritual agama sedang berlangsung.
  • Tidak memaki dan mencaci serta menghina tuhan-tuhan agama mereka.
  • Harus mengucapkan selamat kepada rakan dan jiran tanpa niat membelakangkan Islam.

'Percubaan memalukan Dr M?'

Sementara itu Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy mempersoalkan sama ada pihak dalam Kementerian Pendidikan cuba memalukan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang baru saja memangku jawatan menteri pendidikan.

"Mengapa mereka hantar ini (pekeliling) ke sekolah? Adakah 'daulah terpendam' masih aktif?

"Adakah mereka cuba memalukan pemangku Menteri Pendidikan Dr Mahathir Mohamad? Orang ini (Adzman) perlu letak jawatan," katanya.

Katanya lagi, banyak komuniti lain yang mempunyai perayaan musim menuai seperti Ponggal.

"Memasak nasi dengan susu dan sugar dalam periuk tanah liat adalah simbol tuaian yang berjaya," katanya lagi.

Gambar hiasan - Ponggal 2018

Dalam pada itu, Bernama memetik Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo sebagai berkata bahawa Ponggal bukan satu perayaan atau acara keagamaan.

Beliau berkata perayaan itu menandakan berakhirnya musim menuai dan menandakan kejayaan atau kemakmuran yang melimpah.

Beliau menarik perhatian bahawa perayaan itu telah lama diraikan di Malaysia.

"Ia harus dilihat sebagai satu acara untuk masyarakat kita mengeratkan talian persahabatan, menghormati budaya, menggalakkan perpaduan serta membina negara kita," kata Gobind dalam hantaran di Twitter dan Facebook beliau hari ini.

Ponggal merupakan perayaan yang disambut selama empat hari bermula hari pertama bulan Thai mengikut kalendar Tamil bersempena musim menuai, menandakan kesyukuran terhadap hasil yang diterima.