Pemuda BN Sabah kecam cadangan SPR guna kamera
PRK KIMANIS | Pembangkang melihat langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperkenalkan kamera video di semua saluran mengundi pada hari pengundian 18 Jan ini sebagai mengancam ketelusan serta menakutkan orang ramai.
Mengecam cadangan SPR itu sambil memberi amaran, Ketua Pemuda BN Sabah, Abdul Aziz Julkarnain, berkata agensi pengendali pilihan raya berkenaan perlu menjaga kerahsiaan pengundi.
Katanya, langkah memasang kamera itu boleh menyebabkan undi seseorang di Kimanis tidak lagi rahsia kerana ia dapat dilihat oleh kamera tersebut.
"Kami tidak mahu rakyat Kimanis ini ditakutkan (supaya) mesti undi kerajaan kerana kerajaan sedang lihat kamu (mengundi) melalui (kamera).
"Kami tidak mau benda ni dipolitikkan dan boleh menakutkah para pengundi Kimanis," katanya kepada media hari ini.
SPR menetapkan hari pembuangan undi bagi PRK kali ini ialah pada 18 Jan, manakala untuk pengundi awal, prosesnya berlangsung hari ini.
Terdahulu SPR memaklumkan mereka bercadang memasang kamera di semua saluran mengundi di Kimanis sebagai salah satu langkah menambah baik sistem pilihan raya agar cekap dan telus.
Pengerusinya, Azhar Azizah Harun, bagaimanapun menjelaskan kamera tersebut hanya bertujuan untuk merakam keadaan dalam sesuatu saluran agar SPR boleh melakukan semakan proses pengundian bagi memastikan ia mematuhi prosedur.
“Ia dipasang di semua 68 saluran dan akan dikendalikan oleh pegawai SPR,” katanya.
Abdul Aziz berkata kewujudan kamera itu mungkin mendorong "ditakutkan" sehingga terpaksa memberikan sokongan kepada calon Warisan.
"Mereka tidak seharusnya ditakutkan dengan meletakkan kamera di setiap 68 saluran kerana ini beranggapan kerajaan sedang memerhati mereka," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai