Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PRK Kimanis: Peluang seimbang bagi Warisan dan BN

ULASAN | Suhu kempen pilihan raya kecil (PRK) Kimanis semakin "panas" meskipun cuaca di sini agak sejuk ekoran hujan lebat yang melanda kawasan Kimanis pada sebelah petang dan malam sejak beberapa hari lalu.

Baki kempen yang tinggal hanya beberapa hari lagi menyaksikan jentera kempen kedua-dua parti, baik Warisan mahupun BN telah meningkatkan lagi gerak kerja bagi bertemu dan meraih sokongan seramai mungkin pengundi.

Tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang tempoh kempen sehingga hari ini, politik damai Sabah tidak tergugat dengan kempen politik ala semenanjung, bahkan penyokong kedua-dua belah parti boleh duduk semeja.

BN terus memainkan isu pas sementara Sabah (PSS) sebagai senjata ampuh mereka untuk menumbangkan calon Warisan dan Warisan pula menepis serangan BN dengan menyentuh isu tempatan serta memainkan sentimen "Sabah for Sabahan" dengan menekankan Umno, BN parti dari semenanjung.

Setakat ini sukar untuk meramalkan sokongan pengundi secara konsisten cenderung kepada parti mana baik BN mahupun Warisan, kedua-dua parti mempunyai kelebihan untuk memenangi PRK kali ini.

Kehadiran orang ramai pada kempen kedua-dua parti dilihat agak seimbang dan ia tidaklah dalam skala besar seperti mana gaya politik di semenanjung.

Kehadiran bekas perdana menteri Najib Razak yang terkenal dengan "Bossku" turut membantu kempen BN di sini, malah dalam satu program di Kampung Pimping, meskipun hujan lebat masyarakat setempat tidak berganjak untuk bertemu Najib.

Kempen 'Bossku' di Kimanis kelmarin

Meskipun Najib berdepan pelbagai pertuduhan di mahkamah, namun ia tidak mempengaruhi masyarakat tempatan di sini, malah penulis yang turun membuat tinjauan bertemu dengan pengundi, mereka tidak pun peduli dengan apa dihadapi Najib di mahkamah.

Tidak dinafikan Najib mempunyai pengaruh, ramai pengundi Kimanis masih mengagumi Najib, malah ada yang merasakan budi bekas presiden Umno itu terlalu besar buat mereka di Sabah.

Mereka cukup terkesan dengan bantuan-bantuan yang diilhamkan kerajaan BN pimpinan Najib sebelum ini seperti Bantu Rakyat 1Malaysia (BR1M), malah mereka kurang senang dengan tindakan kerajaan hari ini memotong dan menamatkan sesetengah bantuan yang diterima sebelum ini.

Begitu juga dengan Warisan termasuk Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal juga ketika kempennya dilihat lebih banyak menekankan isu-isu tempatan, malah tidak menyentuh tentang 1MDB ataupun isu nasional membabitkan bekas perdana menteri ataupun presiden Umno kini.

Shafie Apdal bertemu pengundi 

PSS memang menyentuh pengundi di Kimanis, hasil tinjauan rambang yang penulis lakukan terhadap pengundi di sini, majoritinya menolak dan risau sekiranya kerajaan hari ini melaksanakan PSS.

Bukan saja masyarakat Brunei Sabah, bahkan PSS juga turut terkesan dalam kalangan pengundi Kadazan Dusun Murut (KDM) di sini.

Tinjauan penulis terhadap pengundi juga mendapati ada dalam kalangan mereka yang menyokong BN secara diam kerana risau akan nasib ahli keluarga mereka yang bekerja dengan kerajaan.

Meskipun Umno kehilangan pemimpin utama selepas pilihan raya umum Ke-14 (PRU14) lalu, namun sokongan rakyat kepada BN dilihat masih ketara.

Isu-isu tempatan seperti kos sara hidup, nasib nelayan dan petani menjadi perkara pokok masyarakat di sini.

Soal isu nasional bukan perkara pokok yang mampu mempengaruhi sokongan pengundi, pun begitu ia tetap memberi kesan tetapi tidak begitu ketara.

Warisan menggunakan kelebihannya sebagai kerajaan untuk mempengaruhi pengundi memihak dan menyokong calon mereka Karim Bujang.

BN pula mendapat sedikit kelebihan apabila bekas anggota Parlimen Kimanis, Anifah Aman turun membantu kempen calon BN Mohamad Alamin.

Apa pun yang boleh penulis katakan ada dua situasi kemungkinan bakal berlaku sama ada Warisan akan dapat merampas Kimanis dengan majoriti lebih besar ataupun berdepan undi protes dari rakyat.


HASPAIZI ZAIN ialah anggota sidang redaksi Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.