Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Warga emas diperdaya kerugian lebih RM265,000

Seorang warga emas di Batu Gajah mengalami kerugian lebih RM260,000 akibat terpedaya dengan sindiket Macau scam sejak bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Ahmad Adnan Basri, berkata kehilangan wang simpanan berjumlah RM265,368 itu hanya disedari selepas mangsa mengemas kini dua akaun banknya masing-masing satu di Batu Gajah dan Pusing pada 7 Jan lalu.

Beliau berkata penipuan itu bermula pada kira-kira pukul 4 petang pada 19 Dis lepas apabila warga emas berumur 78 tahun dari Sungai Durian, Tanjung Tualang itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali dan bercakap dalam bahasa Mandarin loghat dari negara China.

"Lelaki itu memberitahu bahawa mangsa mempunyai barang dari pejabat pos Kota Kinabalu yang dikirimkan kepadanya, dan meyakinkannya polis Sabah sudah menyita barang berkenaan selepas mendapati terdapat banyak kad kredit palsu didalamnya,” kata Ahmad Adnan dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi warga emas itu kemudiann menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai Sarjan Wong yang menggunakan nombor telefon +89082245522, yang bertanya mengenai wang serta akaunnya, sebelum mengarahkan beliau memindahkan kesemua wang yang ada bagi tujuan siasatan.

AHmad Adnan berkata siasatan polis mendapati semua wang di dua akaun bank milik warga emas itu dikeluarkan menerusi 24 transaksi antara 30 Dis dan 3 Jan lepas, membabitkan wang berjumlah RM265,368.

Beliau seterusnya menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang panggilan telefon yang mencurigakan, dan menurutnya kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

- Bernama