Isu tempatan penentu PRK Kimanis, bukan isu nasional
PRK KIMANIS | Isu tempatan, dan bukan isu nasional, yang akan menjadi penentu apabila pengundi keluar membuat pilihan pada 18 Januari ini.
Penduduk di kawasan Parlimen separa bandar itu, yang terletak kira-kira 55km dari Kota Kinabalu, memberitahu Malaysiakini bahawa peluang pekerjaan dan kemudahan yang lebih baik adalah keutamaan mereka.
Irod Laurince, petani berusia 57 tahun dari Kampung Sinuka, berkata walaupun ada jalan utama yang menghubungkan bandar dengan kawasan lain di Kimanis, hanya sedikit jalan bertar yang menghubungkan antara kampung-kampung.
"Di Kimanis, kita ada kira-kira 150 kampung yang sama ada tiada jalan bertar yang berhubung dengan jalan utama, atau hanya sebahagiannya bertar.
"Saya rasa kurang 30 peratus daripada jalan kampung yang bertar," katanya, menjelaskan jalan-jalan itu biasanya dilitupi dengan batu.
Ia termasuklah kampungnya sendiri, katanya lagi sambil menambah ia merupakan masalah biasa di Sabah.
Anggota Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) itu ditemui di sebuah kedai kopi di Membakut. Upko sebelum ini sebahagian daripada kerajaan BN yang mentadbir negeri dan kini bekerjasama dengan Warisan.
"Keluarga kami ada 54 pengundi. Saya yakin mereka akan memilih calon Warisan Karim Bujang," katanya.
Selain jalan bertar, Irod berkata Kimanis memerlukan institusi pengajian seperti universiti, kolej atau kolej vokasional agar golongan belia tidak perlu ke Kota Kinabalu atau bandar lain selepas tamat sekolah.
Dia menggesa kerajaan menukar Kimanis kepada bandar dengan peluang pekerjaan mencukupi dan pusat pengajian tinggi.
Gais Jaafar, pengundi berusia 84 tahun di Binsulok, mengakui dia belum membuat pilihan antara Karim dan calon BN Mohamad Alamin.
Dia mengundi BN pada PRU ke-14 dan tidak menyesal mengundi gabungan itu sekian lama, tetapi berkata Warisan juga menunjukkan pencapaian yang baik sejak mentadbir negeri.
"Kerajaan Warisan memberikan apa saja yang kami mohon. Saya suka kedua-dua calon," kata Gais.
Esther Paul, suri rumah berusia 35 tahun dari Kampung Sinuka, turut mahukan jalan yang lebih baik.
Dia mengakui cenderung untuk mengikut pilihan penduduk kampungnya, dan memandangkan kebanyakan penduduk Sinuka mengundi Warisan, dia juga menyokong parti itu.
Namun ibu kepada lima anak itu mendapati Mohamad, yang turut berketurunan Kadazandusun Murut di sebelah bapa, sebagai seorang yang mudah didekati.
Katanya, dia tertarik dengan Mohamad yang bercakap dalam bahasa ibundanya ketika ke kampung itu bagi menghadiri majlis pra-Krismas.
Esther berkata, dia hanya melihat Karim dari jauh sepanjang kempen walaupun pernah menjadi adun Bongawan selama lima penggal, tetapi tahu Karim pernah melawat sebuah sekolah dekat kampungnya.
Di saat sejumlah pengundi tidak puas hati dengan kekurangan infrastruktur, Carol Gugkang berkata kerajaan Warisan mentadbir dengan baik termasuk tempat tinggalnya, Kampung Ovai.
Pada Mac 2019, kami minta paip air baru untuk gantikan paip yang berdekad usianya. Sebuah Garisan paip beberapa kilometer dibina bulan lalu," kata pengurus resort berusia 40 tahun itu.
"Kerajaan juga beri tangki air kepada keluarga miskin di Kampung Ovai, dan setuju untuk bina sebuah dewan komuniti tetapi peruntukan hanya akan disalurkan pada Mac," katanya yang mengatakan isu nasional bukan keutamaannya.
Atas sebab yang dinyatakannya, Esther memberikan rating 80 peratus kepada kerajaan Warisan dan berkata akan terus menyokong parti itu.
Bagaimanapun Chua Fu Chai, pemilik kedai runcit berusia 52 tahun, tidak gembira dan mungkin tidak akan mengundi dalam PRK ini.
Katanya, ia sebagai protes kepada kerajaan PH yang dirasakannya tidak menunjukkan prestasi yang baik dan gagal menunaikan manifesto PRU ke-14.
Dia berkata pemilik kedai sepertinya berdepan kesukaran ekoran banyaknya rangkaian kedai yang lebih besar.
"Tiada siapa percaya apabila saya kata kedai saya menanggung kerugian sepanjang lima tahun ini," katanya.
Chua berkata dia sudah hilang harapan dan mahu keempat-empat anaknya membina kehidupan baru di luar.
Sentimen sama ditunjukkan Irod, yang mengatakan hampir semua sebelas anaknya mempunyai kerjaya yang lebih baik di luar negara atau di kota-kota lain di Malaysia.
"Hanya saya yang tinggal untuk mengurusukan 15 ekar ladang keluarga. Sepuluh ekar ialah ladang getah manakala lima lagi kelapa sawit," katanya, yang berkata beberapa kali permohonannya terhadap kerajaan persekutuan untuk menggantikan rumah yang sudah usang, gagal.
Mohd Hilmi Hassan, nelayan berusia 31 tahun dari sebuah kampung di Binsuluk, berkata dia akan mengundi BN kerana pentadbiran sebelum ini lebih banyak membantu penduduka berbanding kerajaan sekarang.
Katanya, kerajaan dahulu membantu penduduk kampung misalnya apabila jaring mereka rosak.
Tay Jock Liang, pesara berusia 58 tahun yang merupakan anggota Umno dan bekerja dengan bekas anggota Parlimen Kimanis Anifah Aman sebelum ini, berkata dia akan kekal mengundi BN.
Mengakui masih ada penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam soal kemudahan dan infrastruktur, Tay berkata keadaan lebih buruk sebelum Anifah menjadi anggota parlimen di situ pada 2004.
Katanya, jalan utama bertar yang menghubungkan bandar dengan kawasan pedalaman dibina ketika Anifah wakil rakyat di situ.
"Kini kita ada balai bomba di Kimanis, dan dewan komuniti di kampung-kampung," katanya yang berkata ia juga dibina ketika era Anifah.
Selain itu bekalan elektrik dan air juga ditambah baik ketika waktu yang sama, katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai