3 warga AS diarah segera tinggalkan Sabah - Imigresen
Tiga warga Amerika Syarikat (AS) diarah meninggalkan Sabah segera kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah, kata Pengarah Imigresen Sabah Muhamad Sade Mohamad Amin.
Katanya, tiga warga AS itu yang terdiri daripada seorang lelaki berumur 38 tahun dan dua anaknya seorang lelaki dan perempuan masing-masing berumur 14 dan 16 tahun, telah masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2017, namun pasport mereka kemudiannya dilaporkan hilang.
"Ketiga-tiga mereka datang ke Pejabat Imigresen Tawau pada 7 Jan lepas bagi mendapatkan bantuan memandangkan mereka telah kehilangan pasport antarabangsa dan telah memohon untuk mendapatkan gantian pasport yang baharu dari negara mereka.
"Mereka telah hadir ke Pejabat Imigresen yang berhampiran (Tawau) untuk mendapatkan bantuan setelah mendapat khidmat nasihat daripada pihak Kedutaan AS di Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan di Tawau hari ini.
Muhamad Sade berkata kedutaan AS di Kuala Lumpur telah menghubungi Pejabat Imigresen Tawau agar memberikan bantuan sewajarnya kepada ketiga-tiga mereka.
“Siasatan lanjut telah dijalankan dan didapati bahawa ketiga-tiga mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.
"Kertas siasatan telah dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Negeri Sabah dan mereka dikenakan kompaun dan diusir balik ke negara asal," katanya.
Muhamad Sade berkata Jabatan Imigresen Sabah sentiasa mengingatkan semua warga asing yang masuk ke negeri ini agar melaporkan diri di mana-mana Pejabat Imigresen terdekat sekiranya mengalami masalah seperti kehilangan pasport.
Jabatan itu juga berharap agar semua warga asing sentiasa mematuhi undang-undang, terutamanya peraturan imigresen di Sabah, katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai