Hiasan tahun baru Cina: Polis ambil keterangan sekolah, peguam, PIBG
Polis telah membuka kertas siasatan berhubung sebuah sekolah di Selangor yang didakwa menerima tekanan untuk menurunkan perhiasan sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Ketua Polis Daerah Serdang Ismadi Borhan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, siasatan dibuat selepas polis menerima dua laporan terhadap surat yang dihantar kepada SMK Pusat Bandar Puchong 1 oleh peguam yang juga naib presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, yang mendesak perhiasan tersebut diturunkan.
Dua laporan itu dibuat oleh orang awam di balai polis Puchong Jaya semalam, katanya lagi.
Katanya lagi, polis setakat ini telah mengambil keterangan Khairul Azam, pihak sekolah, guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Seksyen 505(c) berkenaan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum terhadap golongan atau kaum lain, manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkenaan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
"Selepas siasatan lengkap, kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk dapatkan arahan selanjutnya," katanya ketika sidang media di ibu pejabat polis daerah Serdang hari ini.
Ismadi berkata pihaknya setakat ini tidak menamui apa-apa motif agama atau kaum dalam langkah sekolah memasang perhiasan tersebut.
Terdahulu, Khairul mendakwa dia menerima aduan daripada ibu bapa yang bimbang perhiasan itu bertujuan menyebarkan kepercayaan agama lain terhadap murid Islam.
Menurut Ismadi lagi, polis juga akan menyiasat pihak yang memainkan isu itu di media sosial serta kenyataan Khairul kepada pemberita di Cyberjaya hari ini.
Khairul antara lain berkata dia "sudah menang" memandangkan sejumlah menteri telah ke sekolah itu susulan tercetusnya isu tersebut, dan berseloroh akan "memilih sekolah lain" untuk membuat aduan agar menteri akan berkunjung ke sekolah itu pula.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai