Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Jokowi lawat pulau di kawasan perairan dituntut China

GLOBAL | Presiden Indonesia Joko Widodo semalam melawat Pulau Natuna Besar yang terletak di kawasan perairan yang menjadi pertikaian antara republik itu dengan China.

Dalam lawatan itu, beliau menegaskan kedaulatan Indonesia di kawasan itu.

“Kita ada daerah, regen dan gabenor di sini. Tak ada debat-debat lagi. De facto, de jure (berdasarkan hakikat dan undang-undang), Natuna milik Indonesia,” katanya ketika bertemu nelayan di pulau itu pada Rabu, seperti dipetik Reuters.

Pada akhir Disember lalu, kapal pengawal pantai dan kapal nelayan dari China memasuki zon ekonomi eksklusif Indonesia di luar pesisir pantai, belah utara pulau itu.

Meskipun tidak pernah mendakwa pulau Natuna sebagai miliknya, China berkata ia ada hak menangkap ikan berdekatan dengan pulau itu, dalam lingkungan kawasan ‘Sembilan Garis Putus' yang digagaskan China, merangkumi hampir semua Laut China Selatan.

Bagaimanapun langkah itu dibantah keras oleh Indonesia apabila Kementerian Luar Indonesia pada 1 Januari lalu menegaskan negara itu menolak tuntutan China di kawasan yang menjadi pertikaian itu.

Pemerintah Indonesia juga memanggil duta China di negara itu berhubung perkara itu.

Pada 2017, Indonesia menamakan semula kawasan sebelah utara zon ekonomi eksklusifnya di Laut China Selatan sebagai Laut Natuna Selatan, satu langkah yang mengeruhkan hubungannya dengan China, yang merupakan rakan dagang terbesarnya.

Awal minggu ini, Indonesia mengerahkan lebih banyak kapal dan jet pejuang untuk mengawasi perairan itu.

Menurut pengarah operasi di Agensi Keselamatan Maritim, setakat pagi Rabu, dua kapal pengawal China masih di perairan itu, manakala 10 kapal Indonesia memantau keadaan.

Semalam Menteri Koordinator Bidang Kemaritiman dan Investasi, Luhut Pandjaitan, dan jurucakap kementerian luar negara China, Geng Shuang, dalam kenyataan berasingan menegaskan kedua-dua pihak akan terus mengadakan perbincangan diplomatik berhubung isu itu.