K’jaan tangguh pemansuhan bayaran kritikal BIPK
Pelaksanaan pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) yang dijadual bermula 1 Januari lalu, ditangguhkan hingga kajian semula mengenainya dilaksanakan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Mohd Khairul Adib Abd Rahman.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau memaklumkan kajian mengenai pelaksanaan pemansuhan BIPK itu akan dilaksanakan dengan pihak berkaitan dan diputuskan Kabinet.
"Pelaksanaan pemansuhan BIPK kepada pegawai lantikan baharu membabitkan 33 skim perkhidmatan seperti dinyatakan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2019 adalah ditangguhkan," katanya.
BIPK diwujudkan pada 1992 berikutan kekurangan bekalan tenaga kerja dalam sektor tertentu ketika itu yang bertujuan untuk menarik graduan berkhidmat dengan kerajaan.
JPA berkata sejak dilaksanakan selama 27 tahun, kajian BIPK telah dilaksanakan hanya sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1997, 2001 dan 2007.
Menurutnya kajian terbaru dilaksanakan pada 2019 mendapati kesemua 33 skim perkhidmatan yang diperuntukkan dengan BIPK tidak lagi menepati kriteria pemberian asal iaitu skim-skim perkhidmatan berkenaan tidak lagi kritikal kerana tidak lagi memenuhi kriteria ciri-ciri penawaran yang rendah serta pengisian jawatan yang sukar dilakukan.
Antara skim perkhidmatan tersebut ialah Pegawai Kawalan Trafik Udara, Pegawai Perubatan, Pembantu Perubatan, Penerbit Rancangan, Arkitek, Arkitek Laut, Jururawat, Jurutera, Jurutera Laut, Pegawai Farmasi, Pegawai Perikanan, Pegawai Pergigian, Pegawai Undang-Undang, Pegawai Penyelidikan serta Juruukur Bahan.
"Diharapkan penjelasan ini dapat memberikan gambaran sebenar tentang pelaksanaan BIPK kepada anggota perkhidmatan awam yang terlibat dan seterusnya dapat memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang kepada rakyat," kata JPA.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai