Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pesan ilmuan: Persoal tindakan, seruan ekstremis guna nama Islam

Umat Islam harus mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang membuat seruan atas nama agama tetapi tanpa nilai keadilan, belas ihsan, kebijaksanaan dan untuk kebaikan bersama, kata cendekiawan Islam.

Dalam ucapan pembukaan Persidangan Antarabangsa Perpaduan dalam Kepelbagaian, pengarah Islamic Education Trust Nuruddin Lemu berkata pemahaman nilai-nilai berkenaan penting dalam melawan ekstremisme agama yang kini menjadi cabaran global, terutama terhadap orang Islam.

"Nilai ini bertindak sebagai sistem operasi bagi umat Islam memahami dan menangani isu (ekstremisme) ini.

"Saya cadangkan, jika orang Islam ingin lebih tahu tentang ekstremisme, anda perlu tahu sekurang-kurangnya bantuan awal (asas agama).

"Ambil sedikit masa untuk belajar agar dapat lebih memahami perkara yang benar dan yang salah," kata dalam ucapan bertajuk "Islam di abad ke-21: Melihat Keselarian antara Pengalaman Muslim Seluruh Dunia."

Dari kiri: Yasir Qadhi, Omar Suleiman, Nuruddin Lemu, Nurul Izzah

Kata agamawan dari Nigeria itu lgi, umat Islam juga perlu meluangkan masa mengenali keindahan Islam - misalnya ayat Al-Quran dan riwayat Nabi Muhammad - yang ditafsir secara salah oleh golongan pelampau.

Berhubung mendapatkan nasihat daripada ulama pula, Nuruddin berkata amat penting untuk umat Islam memahami bidang khusus setiap pakar agama agar mendapat pandangan yang betul berkenaan sesuatu perkara.

"Kita tak akan bawa isteri mengandung ke doktor gigi, hanya kerana mereka juga seorang doktor," katanya.

Katanya lagi, setiap agamawan perlu memberi fatwa yang betul dan setiap fatwa menurutnya memiliki "hayat (shelf life)", maka agamawan perlu memikirkan konsensus baru berkenaan sesuatu perkara.

“Jika fatwa itu bawa keburukan, kita tahu ada yang tidak kena dengan hukum tersebut,” katanya lagi.

Pengalaman Muslim Amerika

Aktivis hak asasi dan ilmuan dari Amerika Syarikat, Omar Suleiman pula memulakan ucapan dengan menceritakan cabaran yang dihadapi orang Islam di negara itu, antaranya dalam berdepan Islamofobia.

Beliau menceritakan bagaimana kematian peninju terkenal Muhammad Ali pada Jun 2016 - di saat kehangatan kempen pilihan raya presiden melibatkan Donald Trump - menyatukan warga negara itu - walaupun hanya sekejap - daripada pelbagai latar belakang yang memandangnya sebagai seorang ikon.

“Buat pertama kali, ayat al-Quran dibaca di berita sukan Fox tanpa diganggu.

“Tetapi dua hari kemudian, ada pelampau pergi ke kelab malam LGBT di Orlando, Florida dan bunuh ramai orang...Lantas kita kembali dilabel sebagai ektrimis.

“Kita tidak ada walau dua hari untuk meratapi pemergian orang Islam paling hebat yang pernah ada di tanah air kami," katanya dalam syarahan berkenaan naratif terhadap Islam di media digital.

Beliau yang mengetuai Yaqeen Institute for Islamic Research dan profesor adjung di Southern Methodist University kemudian menceritakan pengalamannya melihat sokongan dan kasih sayang yang ditunjukkan dalam tragedi pengeboman masjid Christchurch New Zealand pada Mac tahun lepas.

Katanya, beliau sempat mengimamkan sembahyang jenazah buat Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, pelajar Malaysia yang terkorban.

Omar secara keseluruhan menekankan kepentingan untuk orang Islam menunjukkan keindahan agama melalui media.

Penceramah ketika ialah agamawan Pakistan-Amerika Yasir Qadhi, yang membicarakan cabaran yang bakal dihadapi umat Islam di masa depan.

Presiden PKR Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama dalam persidangan ini, manakala anaknya Nurul Izzah menjadi moderator.

Anwar dalam ucapannya berkata umat Islam tidak akan dapat mengalahkan golongan pelampau jika mereka sendiri tidak memahami erti sebenar agama.

"Anda menjadi megah bercakap tentang Islam, menolak semua pandangan ekstremis, tetapi anda tidak tahu tentang Islam," katanya.

Persidangan hari ini dianjurkan International Institute of Islamic Thought - sebuah institut berpangkalan di Amerika Syarikat yang diasaskan bersama oleh Anwar, Muslim Professionals Forum dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).