Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Permohonan wanita dakwa isteri Samy Vellu jadi pencelah didengar 18 Feb

Permohonan seorang wanita yang mendakwa sebagai isteri bekas presiden MIC S Samy Vellu untuk menjadi pencelah dalam kes saman S Vell Paari terhadap bapanya itu akan didengar pada 18 Feb ini.

Peguam RSN Rayer yang mewakili Meeriam Rosaline Edward Paul, 60, memberitahu pemberita bahawa permohonan itu difailkan pada 17 Dis tahun lepas dan mahkamah akan membuat keputusan sama ada anak guamnya boleh menjadi pihak dalam kes saman itu.

"Sekiranya mahkamah menolak permohonan itu, mahkamah akan menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada Samy Vellu berupaya menguruskan hal ehwal dirinya," katanya selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Sofian Abd Razak di dalam kamarnya hari ini.

Vell Paari, 58, selaku plaintif memfailkan saman tersebut untuk mendapatkan perintah mahkamah supaya siasatan dilakukan bagi menentukan sama ada Samy Vellu mengalami kecelaruan mental dan tidak berupaya untuk menguruskan diri serta hal ehwalnya.

Saman berkenaan difailkan Vell Paari pada 2 Dis tahun lepas di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dengan menamakan bekas menteri kerja raya itu, yang berusia 83 tahun, selaku defendan tunggal.

Dalam saman itu, Vell Paari (gambar, atas) memohon perintah bahawa suatu tarikh, masa dan tempat ditetapkan untuk siasatan diadakan di bawah Seksyen 52 Akta Kesihatan Mental 2001 ke atas bapanya bagi mengetahui jangka masa bapanya mengalami kecelaruan mental.

Beliau juga memohon perintah mahkamah untuk mengetahui sama ada bapanya berupaya memberi arahan kepada peguam supaya bertindak bagi pihaknya (Samy Vellu) selain untuk menentukan jenis harta yang dimiliki oleh bapanya.

Bekas setiausaha agung MIC itu turut memohon supaya Consultant Neuropsychiatrist dan Ketua Neurobehavioral Medicine Services dari Penang Adventist Hospital, Dr Prem Kumar Chandrasekaran, 52, atau pakar kesihatan mental lain diberikan akses untuk memeriksa bapanya secara peribadi dan menyediakan laporan tentang keupayaan mental defendan.

Katanya, jika defendan didapati mengalami kecelaruan mental dan tidak berupaya menguruskan dirinya serta hal ehwalnya akibat masalah itu, beliau memohon supaya beberapa individu termasuk dirinya (plaintif) dan peguam C Vijaya Kumar dilantik oleh mahkamah sebagai ahli jawatankuasa untuk menjaga dan menguruskan hal ehwal estet defendan.

Sekiranya mahkamah membenarkan kesemua individu itu dilantik sebagai ahli jawatankuasa, plaintif turut memohon supaya mahkamah menentukan kuasa ahli jawatankuasa tersebut, membuat peruntukan bagi kos dan perbelanjaan jawatankuasa serta membuat peruntukan bagi saraan jawatankuasa tersebut.

Vell Paari juga memohon perintah supaya beliau dilantik sebagai wakil litigasi defendan dalam mana-mana prosiding undang-undang membabitkan bapanya, harta atau kepentingannya.

Sementara itu, Vell Paari menerusi afidavit sokongannya berkata ibunya, R Indrani, 79, dan adik perempuannya, S Mangayerkarasi, 56, akan memberi sokongan terhadap saman itu dan akan mengesahkan perkara tersebut dalam afidavit sokongan mereka.

Plaintif berkata konsultan psikiatri dari Victoria, Australia, Prof David Ames telah mengenal pasti bapanya mengalami demensia pada 2017 dan telah diberikan ubat untuk merawat kesihatannya.

Katanya, konsultan psikiatri dari Pantai Hospital, Dr Bharathi Vengadasalam turut menyediakan laporan bahawa Samy Vellu mengalami gangguan neurokognitif major dan tidak berupaya menguruskan kewangan dan estet, menguruskan ubat serta membuat keputusan.

Beliau berkata hasil penemuan kedua-dua konsultan itu mendapati bapanya mengalami kecelaruan mental dan tidak memiliki keupayaan fizikal dan mental menguruskan dirinya dan hal ehwalnya.

Vell Paari berkata sejak 2017 beliau telah membantu bapanya untuk menguruskan hal ehwal dan estetnya dan telah menggunakan dananya sendiri bagi tujuan itu berikutan bapanya tidak dapat mengakses dana dalam akaun perbankan atas faktor kesihatan.

Pada 12 Dis tahun lepas, Mahkamah Tinggi Ipoh menetapkan 17 Jan ini untuk mendengar permohonan daripada Meeriam Rosaline, bagi mendapatkan akses tanpa syarat ke atas Samy Vellu selain memohon mahkamah mengeluarkan perintah bayaran nafkah RM25,000 kepadanya setiap bulan.

- Bernama