Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Najib tak bersetuju yang lain tak boleh setuju jika dia setuju

KES SRC l Dalam kerajaan, surat-menyurat dibawa kepada perdana menteri untuk mendapatkan arahan berhubung dokumen-dokumen untuk tindakan selanjutnya oleh jabatan-jabatan yang berkaitan.

Sama ada penjawat awam atau ketua badan berkanun boleh berkata "tidak" kepada arahan atau sebarang catatan nota oleh perdana menteri dalam dokumen tersebut, menjadi subjek dalam perbicaraan SRC International yang melibatkan Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Secara spesifik, pihak pendakwa raya menumpukan perhatian kepada catatan "setuju" pada surat kepada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk menyediakan pinjaman RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd.

Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram ketika pemeriksaan balas ke atas Najib, mencadangkan bahawa suatu ketika apabila perdana menteri berkata "bersetuju", orang bawahannya tidak mampu menolak atau berkata "tidak".

Walau bagaimanapun, Najib tidak bersetuju dan berkata apabila beliau kata "bersetuju", ia sekadar bermaksud untuk memulakan proses usaha wajar atau ‘due diligence’.

Sithambaram: Bila kamu setuju atau tulis "bersetuju", kamu bersetuju dengan pinjaman RM3.95 bilion diberikan oleh KWAP.

Najib: Bila saya kata setuju, ia adalah setuju untuk memulakan proses.

Sithambaram: Kamu tulis 'bersetuju'.

Najib: Tertakluk kepada budi bicara KWAP

Sithambaram: Apabila perdana menteri tulis 'bersetuju', ia tidak tertakluk kepada budi bicara.

Najib: Tidak, saya tidak setuju.

Najib sedang menghadapi perbicaraan atas tujuh tuduhan pengubahan wang haram, jenayah pecah amanah dan salahguna kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International.

Dia dituduh membantu meluluskan pinjaman KWAP kepada SRC International sebagai ganti untu mendapatkan sogokan.

SRC International adalah bekas anak syarikat 1MDB yang kemudiannya dipindahkan kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc). Najib juga adalah menteri kewangan ketika itu.

Dana RM42 juta daripada SRC International kemudiannya berakhir di dalam akaun bank peribadi Najib yang menurutnya, bahawa dia tidak tahu mengenai penyaluran dana tersebut yang berasal daripada syarikat pelaburan milik negara.

Sithambaram juga berulang kali mengasak Najib dengan menyoalnya sama ada sebagai menteri kewangan dia adalah "bos mutlak" berbanding ketua pegawai eksekutif KWAP, Azian Mohd Noh, yang sepatutnya bertanggungjawab berhubung permohonan pinjaman daripada SRC International.

Najib berkata perdana menteri akan menjadi bos buat semua institusi dan syarikat berkaitan kerajaan tetapi menekankan bahawa ia bukan dalam "erti kata yang ketat".

"Ia tertakluk kepada proses," katanya.

Kes itu dibicarakan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan bersambung esok.