Calon Warisan jawab isu video dimarahi pengundi
PRK KIMANIS | Calon parti Warisan, Karim Bujang tampil menjawab penularan rakaman video yang menunjukkaan beliau dimarahi seorang pengundi ketika berkempen di pusat daerah mengundi bandar Membakut, semalam.
Karim mendakwa, lelaki berkenaan bertindak memarahinya kerana tidak mendapat jawatan sebagai ketua kampung.
Bahkan beliau mendakwa video itu seolah-olah sengaja ditularkan bagi mencemar imejnya ketika kempen Pilihan Raya Kecil Kimanis sedang berlangsung.
"Saya agak terkejut dengan reaksi sebegitu, beliau memarahi saya dengan perkara yang saya tidak tahu.
"Rupanya dalam kumpulan kami itu ada dua orang individu yang menyuruhnya bekerja dan beliau tidak memberi apa gaji. Jadi, saya rasa tidak ada masalah yang besar.
"Saya pun susah juga nak memastikan apakah itu perkara yang sebenarnya, tapi bila saya tanya dengan orang yang tinggal berdekatan di situ rupanya beliau ini marah kerana tidak diberi jawatan sebagai ketua kampung," katanya ketika ditemui di Kimanis, semalam.
Terdahulu tular satu video di mana seorang lelaki menyekat dan meluahkan rasa tidak puas hati dengan calon Warisan itu.
Video yang tular di media sosial berdurasi 28 saat itu, memperlihatkan seorang lelaki tidak berbaju dengan nada suara tinggi tidak berpuas hati dengan "kerja" yang dilakukannya.
Mengulas lanjut, Karim berkata kejadian itu berlaku ketika beliau dalam perjalanan menuju ke rumah keluarga lelaki berkenaan untuk menziarahi ibunya yang sedang sakit.
Katanya, beliau terkejut apabila lelaki berkenaan meluru ke arahnya dengan nada suara yang tinggi dan memarahinya serta rombongannya.
"Sebenarnya beliau tidak berniat untuk memarahi saya, tuan-tuan boleh lihat bahawa saya hanya mendengar dan menjawab apa yang disebutkan beliau itu, saya tak ada niat untuk berkelahi atau bertengkar dengan orang-orang seperti itu.
"Cumanya apabila diviralkan sebegitu saya tersentaplah, bahawa dunia hari ini hanya memikirkan perkara yang boleh mensensasikan dan bukan berfaktakan kepada matlamat dan kejadian yang sebenarnya," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai