Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Jho Low penjahat nombor satu, kata peguam Najib

Peguam Najib Razak menolak kenyataan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho yang mendakwa dirinya sekadar "pencadang dan pengantara" dalam skandal 1MDB.

Menurut Muhammad Shafee Abdullah, Low tidak bercakap benar dalam wawancaranya bersama akhbar Singapura, Straits Times yang terbit pagi ini.

Peguam itu berkata Low yang dikenali sebagai Jho Low, "sengaja melupakan" untuk bercakap mengenai dirinya menipu pengurusan kanan 1MDB dan SRC International.

"Saya fikir dia individu utama yang mengatur segala-galanya di sekelilingnya termasuk institusi kewangan, termasuk juga pihak kewangan seperti para pegawai bankk dan semua kroni yang sebenarnya ialah rakannya.

"Mereka berada dalam 1MDB, SRC dan juga di luar negara. Tapi dia adalah individu utama.

"Jika dia cuba meminimumkan peranannya, dia tidak bercakap benar," kata Shafee kepada pemberita selepas prosiding ke SRC International hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam bela utama Najib mengulas laporan Straits Times, yang menerbitkan penjelasan Jho Low dalam skandal 1MDB.

"... Jho Low dengan sengaja lupa untuk memberitahu kami bahawa dia sebenarnya telah memperdaya pengurusan kanan. Beberapa pengurus kanan yang bekerja dengan Jho Low, sebenarnya ialah rakan-rakan Jho Low.

"Dia telah menipu lembaga (pengarah) SRC, dan dia memperdaya syarikat 1MDB.

"Jadi dia dalang utama nombor satu. Jika saya boleh katakan, dia penjahat nombor satu," kata Shafee.

Low telah memberitahu Straits Times, antara lainnya, dia hanya dijadikan sasaran untuk mengalihkan kesalahan daripada orang lain yang memainkan peranan jauh lebih besar dalam skandal itu.

Dalam temu bual dengan Straits Times itu, Low berkata, perhatian kurang diberikan kepada tokoh-tokoh lain seperti tokoh perbankan antarabangsa dan peguam yang ditugaskan menasihati firma pelaburan negara itu dan bekas anak syarikatnya SRC International.

Mempertahankan bahawa dia tidak pernah memegang sebarang jawatan yang membolehkannya membuat keputusan di kedua-dua syarikat itu, Low menegaskan bahawa pihak pengurusan, lembaga pengarah dan pemegang saham 1MDB dan SRC International seharusnya melakukan ‘usaha wajar’ atau ‘due diligence’ terhadap semua cadangan dan mempunyai hak untuk menolaknya.

"Dakwaan bahawa saya 'dalang' adalah salah. Saya tidak pernah memegang sebarang jawatan yang membolehkan saya membuat keputusan muktamad dalam 1MDB atau SRC," katanya.

"[...] Peraturan tadbir urus dan etika korporat menghuraikan kewajipan dan tanggungjawab pihak pengurusan, lembaga dan pemegang saham dari segi kelulusan, usaha wajar dan fungsi lain, termasuk, antara lain, hak untuk menolak cadangan dan meletakkan jawatan dalam syarikat. "

Katanya, dia hanya bersetuju untuk membantu sebagai pencadang dan pengantara bagi syarikat-syarikat itu kerana "hubungan baiknya dengan pengusaha asing dan pembuat keputusan yang berpengaruh".

"Dalam kes 1MDB dan SRC, terdapat juga tokoh perbankan antarabangsa, peguam dan golongan profesional bebas lain yang menasihati dan menyokong syarikat dalam proses tertentu," katanya kepada Straits Times lagi.

"Hakikatnya, saya adalah sasaran mudah memandangkan saya bukan ahli politik."

[Baca berita asal]