Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Telaga sementara untuk bekalan air alternatif di Melaka - KM

Telaga sementara milik Badan Kawal Selia Air akan dikembalikan semula fungsinya sebagai bekalan air alternatif sekiranya Melaka menghadapi gangguan bekalan air menjelang musim kemarau yang dijangka pada April depan, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau berkata penggunaan air bawah tanah juga akan dipertimbangkan dan selain itu berharap pelaksanaan projek takungan air di luar sungai (ORS) di Tasik Biru, Jasin serta Empangan Jernih di Alor Gajah dapat disegerakan.

"Penggunaan air telaga sementara ini telah digunakan semasa Melaka menghadapi krisis air sebelum ini dan ia antara usaha yang boleh dilaksanakan sekiranya ia berulang.

"Kita juga akan terus mencari sumber air bawah tanah yang boleh digunakan untuk manfaat rakyat dan ia dilihat menjadi sumber air penting pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Perdana Kerajaan Negeri Melaka dan Amanat Tahun Baru 2020 di Melaka, hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan merangka strategi baharu bagi sektor industri di negeri ini mendapatkan bekalan air tambahan sekiranya gangguan sumber berlaku, sekali gus memastikan bekalan air bagi penggunaan domestik untuk rakyat tidak diganggu.

Adly berkata bekalan air di negeri ini boleh terganggu ekoran kadar hujan yang rendah serta perubahan cuaca yang tidak menentu dan rakyat diingatkan agar sentiasa mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air agar tidak berlaku pembaziran.

Beliau berkata kenaikan tarif air di negeri ini masih dalam perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan yang mengambil kira pelbagai aspek antaranya infrastruktur bekalan air Melaka dan keputusan itu dijangka dimuktamadkan sebelum April depan.

Sementara itu, Adly berkata kerajaan negeri akan membangunkan 'Rumah Sejahtera' dalam usaha memastikan rakyat di negeri ini memiliki rumah dan ia dijangka dilaksanakan pertengahan tahun ini.

Beliau berkata rumah bernilai RM100,000 itu akan dibangunkan untuk rakyat yang memiliki tanah menerusi pinjaman dari Amanah Finance House, dan menerusi inisiatif itu 100 rumah akan dibina dalam tempoh dua tahun bermula pertengahan tahun ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan membangunkan 404.69 hektar tanah di sekitar negeri ini dengan tanaman kelapa, nanas dan tanaman fertigasi.

Katanya ia antara usaha kerajaan negeri memperkasa industri pertanian di negeri ini selain menggalakkan lebih banyak golongan belia menjadi petani kerana sektor itu mampu memberi pulangan kewangan lumayan khususnya menerusi kaedah pertanian moden.

- Bernama