Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Teksi motor: Menteri buat pemeriksaan mengejut

Selepas beberapa hari projek perintis perkhidmatan bike–hailing yang juga dikenali teksi motosikal dilaksanakan di sekitar Lembah Klang bermula awal bulan ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook membuat pemeriksaan mengejut dengan memesan khidmat perkhidmatan pengangkutan berasaskan aplikasi itu.

Loke yang membuat pesanan itu secara peribadi memulakan perjalanannya daripada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ke stesen LRT Pasar Seni, sebaik sahaja selesai sarapan pagi di sekitar kawasan terbabit.

Dengan jarak dua kilometer itu, Loke mengambil masa selama selama 10 minit untuk sampai ke stesen LRT Pasar Seni, selepas 15 minit membuat tempahan menerusi aplikasi atas talian itu.

Loke yang berkemeja Ungu dan berseluar Hitam turut dibekalkan topi keledar oleh Dego Ride.

Sebaik tiba di lokasi yang diminta Loke, media dapat melihat riak wajah penunggang Dego Ride itu, yang agak terkejut kerana dikerumuni oleh jurugambar yang telah bersedia menunggu menteri pengangkutan itu.

Ini kerana difahamkan Loke langsung tidak memaklumkan kepada syarikat pengendali teksi motorsikal itu untuk perjalanannya hari ini.

Bercakap kepada pemberita, Loke berkata beliau sengaja membuat pemeriksaan mengejut itu bagi memantau sejauh mana aspek pematuhan peraturan dan keselamatan diutamakan.

“Ketika itu (2018) memang kita tak setuju dari segi keselamatan, tetapi keputusan ini dibuat oleh kabinet dan bukan atas permintaan saya.

“Itu sebabnya saya akur kepada keputusan kabinet dan kita sebagai kementerian pelaksana, kita akur dengan keputusan tersebut tetapi pada masa yang sama kita nak memastikan unsur-unsur keselamatan Itu mesti dipatuhi.

“Itu sebabnya saya mengambil pendekatan seperti ini untuk periksa mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Stesen Pasar Seni untuk melancarkan jejantas Transit Aliran Massa (MRT) stesen yang sama.

Kementerian Pengangkutan dan Loke sebelum ini secara prinsipnya tidak menolak cadangan perkhidmatan teksi motorsikal itu tetapi mengakui bimbang soal keselamatan.

Bagaimanapun, mengulas lanjut Loke berkata beliau berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat Dego Ride setakat ini.

"Perkhidmatan itu di peringkat awal ini tidak banyak motosikal menggunakan perkhidmatan. Dalam perkhidmatan masa kurang 10 minit sampai ke sini saya lihat mereka memang bersedia memberikan helmet kepada penumpang, kelajuan sederhana dalam keadaan kesesakan lalu lintas tadi.

"Penunggang juga mematuhi lampu isyarat, tidak memecut.

"Itu petanda baik dan kita harap mesti diteruskan pesanan saya mesti mematuhi semua unsur keselamatan kita akan memantau dari semasa ke semasa termasuklah data mereka menerusi syarikat mereka yang telah berdaftar," katanya.

Bagaimanapun, menurut Loke, pihaknya juga akan meneruskan pemeriksaan mengejut terhadap perkhidmatan tersebut.