Pemuda Umno lapor polis berhubung pemberian hamper dan motosikal
Pemuda Umno Sabah pagi ini membuat laporan polis berhubung dakwaan pelanggaran akta pilihan raya oleh parti Warisan Sabah dalam satu majlis sambutan perayaan Krismas di Membakut.
Laporan polis telah dibuat oleh Ketua Pemuda Umno Beaufort, Mohd Fadzli Miskeh di ibu pejabat polis daerah Beaufort pagi tadi.
Menurut laporan polis yang dibuat Fadzli dia mendakwa telah berlaku kesalahan pilihan raya oleh parti Warisan yang memberi hamper dan hadiah seperti motosikal, kipas dan barangan lain dalam satu majlis rasmi.
"Saya sesungguhnya percaya bahawa telah berlaku satu kesalahan pilihan raya seperti mana yang terkandung di dalam akta kesalahan pilihan raya 1954.
"Saya menggesa pihak polis menjalankan penyiasatan dan mengambil tindakan sewajarnya tanpa sebarang layanan istimewa sejajar dengan konsep 'rule of law'," katanya di Beaufort , hari ini.
Kelmarin, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata beliau akan meminta bilik gerakan BN untuk membuat laporan berhubung apa yang didakwa sebagai pelanggaran Akta Pilihan Raya oleh parti kerajaan ketika kempen pilihan raya kecil (PRK) Kimanis.
Katanya, ia berkaitan dengan cabutan bertuah berupa sebuah motosikal dan barangan lain pada sambutan Krismas yang diadakan di pekan Membakut ketika kempen PRK Kimanis bermula.
Bagaimanapun semalam, seorang pemimpin Kadazan Dusun Murut (KDM) menafikan dakwaan Mohamad yang mengaitkan majlis sambutan Krismas dan tahun baru 2020 di Membakut dengan kempen PRK Kimanis yang sedang berlangsung.
Pengerusi jawatankuasa penganjur program itu, Peter Chang, mewakili Gereja Membakut berkata program itu, yang antara lain menawarkan hadiah cabutan bertuah, tidak mempunyai kaitan dengan Warisan.
Jelas belia, Presiden Warisan Shafie Apdal hadir sebagai tetamu kehormat sebagai penghargaan kepadanya atas kapasiti ketua menteri Sabah yang memberikan cuti dua hari di negeri itu.
"Majlis Krismas dan sambutan tahun baru yang dianjurkan di Membakut semalam bukanlah anjuran Warisan atau pun KDM Malaysia, ia adalah anjuran masyarakat Membakut yang beragama Kristian," kata Peter.
Sementara itu Fadzli berkata, pemberian makanan dan hadiah adalah jelas bertentangan dengan larangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Saya berharap pihak berkuasa dapat menyiasat kes ini dengan sewajarnya," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai