Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kementerian Pertanian jamin udang ternakan selamat dimakan

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan kesemua udang ternakan di negara ini selamat untuk dimakan.

“Susulan berita tentang penggunaan antibiotik ke atas udang ternakan baru-baru ini, saya ingin memberi jaminan bahawa udang ternakan tempatan (dari kolam ternakan) adalah selamat untuk dimakan.

“Jabatan Perikanan (DOF) mempunyai sistem pemantauan yang ketat ke atas semua kolam ternakan di seluruh negara.

"Pemeriksaan dan penguatkuasaan berkala dilakukan untuk memastikan kualiti eksport dan kualiti makanan kita adalah selamat,” kata timbalan menterinya, Sim Tze Tzin.

Sim membuat kenyataan itu melalui hantaran Facebook selepas meluangkan masa melawat kolam ternakan udang di Kuala Langat, Selangor hari ini.

Kenyataan itu adalah maklum balas kementerian terhadap laporan The Star pada 4 Jan lalu mengenai penternah yang didakwam menggunakan antibiotik haram dalam kegiatan mereka.

Laporan tersebut menimbulkan taksiran yang negatif terhadap industri ternakan udang di Malaysia.

Guna teknologi terkini

Mengulas lanjut, Sim yang juga anggota Parlimen Bayan Baru berkata pihaknya juga telah mengarahkan DOF untuk memeriksa semua syarikat yang disenarai pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (USFDA).

“Kami mahu perkara ini diselesaikan dengan segera.

“Berdasarkan semakan saya, sebahagian besar penternak tidak lagi menggunakan antibiotik dan menukarnya kepada probiotik dan amalan penternakan yang lebih baik,” katanya.

Menurut Sim, kebanyakan penternak telah berhenti menggunakan rawatan antibiotik sejak 10 tahun lalu bagi memastikan udang ternakan mereka dapat dieksport.

“Syarikat-syarikat yang disenaraikan pihak USFDA, kebanyakannya terlibat dalam aktiviti pemunggahan. Semakan DOF mendapati kebanyakan syarikat yang terlibat telah berhenti beroperasi,” katanya.

Tambahnya, kolam ternakan yang dilawatinya hari ini juga menggunakan enzim untuk merawat air bagi menghasilkan persekitaran kolam yang lebih baik.

“Kadar kematian udang juga adalah serendah lima ke 10 peratus saja. Malah, mereka tidak pun menggunakan rawatan probiotik.

"Saya berbangga industri udang kita mengguna pakai teknologi terkini dan kaedah ternakan baru bagi memastikan tahap keselamatan dan eksport makanan kita.

“Udang-udang ini segar dan saya gembira dapat makan banyak udang hari ini,” katanya.

Terdahulu, DOF dalam satu kenyataan turut mengesahkan kesemua udang ternakan di negara ini selamat untuk dimakan.

Unit Komunikasi Korporat Ibu Pejabat DOF memberitahu, hasil ujian yang dijalankan ke atas sampel udang dan ikan mendapati tiada bahan antibiotik terlarang yang dikesan.

Menurutnya, sebanyak 2,446 sampel udang dan ikan diambil bagi tempoh 2008 sehingga kini bagi tujuan pemantauan antibiotik chloramphenicol (CAP), nitrofuran (NF) dan nitroimidazole (NI) di peringkat ladang.

"Malah, pihak Agensi Makanan Singapura (SFA) melalui kenyataan media telah memaklumkan udang yang diimport dari Malaysia tidak pernah dikesan mengandungi CAP dan NF," kata kenyataan itu.