Syed Saddiq: Maszlee jalankan tugas menteri dengan niat baik
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan Dr Maszlee Malik menjalankan tugas dengan baik sebagai menteri pendidikan selama memegang jawatan itu.
Syed Saddiq yang juga ketua Pemuda Bersatu juga percaya Maszlee mempunyai niat baik ketika memegang portfolio kementerian berkenaan.
"Secara peribadi saya fikir Maszlee adalah sahabat yang baik dan seperti abang kepada saya.
"Dia telah berkhidmat untuk negara ini dengan baik dan saya tahu walaupun terdapat pergolakan yang dia hadapi, niatnya baik.
"Saya mempunyai hubungan kerja yang sangat baik dengannya dan saya harapkan yang terbaik untuknya," katanya kepada media selepas melancarkan jentera pemilihan Pakatan Harapan di Bongawan, Kimanis hari ini.
Selain Syed Saddiq, beberapa menteri PH turut memuji pencapaian Maszlee selama 20 bulan menerajui Kementerian Pendidikan.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan di Facebook berkata Maszlee mempunyai kelemahan, seperti ahli kabinet lain, namun beliau berjaya melakukan pelbagai penambahbaikan yang "tiada seorang pun pemimpin sebelum Maszlee berjaya lakukan".
Kata Dzulkefly, ini termasuklah memperbaiki sekolah-sekolah daif di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh pula membidas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy yang mengkritik Maszlee.
Ramasamy menyifatkan Maszlee menumpukan usaha untuk membuat pembaikan hal-hal kecik berbanding perkara dasar untuk mempersiapkan pelajar berdepan cabaran global/
Bagaimanapun, enggan mengulas apabila ditanya wartawan sama ada Maszlee diarah letak jawatan kerana gagal mengikuti arahan kabinet dalam beberapa isu.
"Itu bukan untuk saya jawab. Saya bukan perdana menteri," kata Syed Saddiq.
The Malaysian Insight (TMI) hari ini melaporkan bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengarahkan Maszlee untuk meletak jawatan melalui surat bertarikh 27 Dis.
Laporan tersebut mendakwa Maszlee gagal mengikuti arahan kabinet berhubung beberapa isu seperti pengajaran tulisan Jawi, pembekalan perkhidmatan internet di sekolah, dan program sarapan percuma di sekolah rendah yang bermula hujung bulan ini.
Khamis lalu, Maszlee dalam sidang media selepas pertemuan dengan Dr Mahathir mengumumkan untuk "memulangkan jawatan" menteri pendidikan kepada perdana menteri, berkuat kuasa 3 Januari lalu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai