Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Operasi kereta api Bukit Bendera ditutup sementara

Perkhidmatan kereta api funikular di Bukit Bendera akan ditutup selama sembilan hari bermula 6 Jan ini bagi tujuan penyelenggaraan tahunan berjadual kali pertama, menurut Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC).

Menurut kenyataan dikeluarkan itu, operasi kereta api berkenaan akan berjalan seperti biasa pada 15 Jan.

"Penyelenggaraan berjadual itu akan dijalankan di bawah pengawasan syarikat pengeluar funikular iaitu Garaventa AG dari Switzerland untuk memastikan sistem funikular sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan menjalani pemeriksaan keselamatan yang ketat.

"Sepanjang tempoh penutupan berkenaan, pengunjung yang mahu ke pusat pelancongan itu boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan jip kendalian syarikat persendirian dari Taman Botani, atau menggunakan laluan mendaki untuk sampai ke puncak," menurut kenyataan itu.

PHC juga memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi dan mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung atas kesabaran dan sokongan berterusan kepada Bukit Bendera.

Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi PHC di talian 04-8288880 atau e-mel kepada [email protected].

- Bernama