Syarikat pembuat sarung tangan gantung operasi lepas disekat AS
Hanya tiga bulan selepas Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat mengumumkan sekatan ke atas WRP Asia Pacifik Sdn Bhd (WRP) kerana disyaki menggunakan buruh paksa, syarikat pembuatan sarung tangan itu menggantung operasinya serta-merta hari ini.
Menurut pekeliling yang dikeluarkan kepada pekerja syarikat itu, WRP - melalui syarikat penyelesai sementara yang dilantik - mengumumkan bahawa operasi perniagaan mereka "digantung sementara".
Bertarikh 30 Dis 2019. pekeliling yang dilihat Malaysiakini itu dipetik sebagai berkata: "Harap maklum, disebabkan oleh kekangan kewangan yang dihadapi syarikat, operasi perniagaan akan digantung dengan serta-merta sehingga notis selanjutnya dikeluarkan."
Notis itu dikeluarkan oleh penyelesai sementara, Ong Hock An dan Mak Chew Yin.
Pada 1 Okt 2019, CBP mengumumkan ia mengeluarkan perintah pelepasan pegangan kepada lima produk berlainan yang diimport dari lima negara kerana disyaki menggunakan buruh paksa.
Sekatan tersebut turut melibatkan pengimportan sarung tangan getah pakai buang oleh WRP.
Januari lalu, WRP menjadi tumpuan ramai selepas hampir 2,000 pekerja warga Nepal mengadakan mogok tiga hari ekoran tidak dibayar gaji selama tiga bulan.
Jabatan Tenaga Kerja (JTK) kemudian melakukan siasatan ke atas syarikat terbabit dan mendapati mereka menahan gaji pekerjanya, tidak membayar kerja lebih masa, membuat pemotongan gaji yang tidak adil dan mempunyai susunan waktu kerja yang salah semasa rehat dan cuti umum.
Malaysiakini sudah menghubungi WRP dan sedang menunggu reaksi mereka.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai