Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kadar tol jambatan kedua PP turun

Kadar tol untuk kereta persendirian di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) dikurangkan daripada RM8.50 kepada RM7 bermula pada 12.01 tengah malam tadi, menjadikan kadarnya sama dengan Jambatan Pulau Pinang.

Penyeragaman harga tersebut selaras dengan pengumuman Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada 11 Okt lepas sebagai bukti keprihatinan kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

Ahli Lembaga Pengarah Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) - iaitu syarikat konsesi JSAHMS - Farizan Darus, berkata penyeragaman itu diharap dapat mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang dan pengguna beralih menggunakan JSAHMS.

"Selain itu, pengguna yang ingin ke bahagian pulau terutama dari kawasan selatan akan beralih ke JSAHMS bagi pemanduan lebih lancar, selesa dan selamat kerana jambatan ini tidak pernah mengalami kesesakan sejak ia dibuka sejak 2014 " katanya selepas pelancaran penyeragaman kadar tol di JSAHMS, di sini malam tadi.

Katanya sejak ia dibuka, sebanyak 32.6 juta kenderaan menggunakan jambatan itu dengan peningkatan purata jumlah kenderaan kira-kira 32 peratus setiap tahun.

"Berdasarkan statistik kami, pada 2014 sebanyak 3.4 juta kenderaan menggunakan JSAHMS, seterusnya 2015 sebanyak 4.8 juta kenderaan, 2016 (6.1 juta), 2017 (8.1 juta), 2018 (9.8 juta) dan sehingga Nov 2019, 9.5 juta. Kami menjangkakan tahun depan lebih banyak kenderaan menggunakan jambatan itu.

"Ketika harga tol RM8.50 pun ramai yang menggunakan JSAHMS, saya yakin dengan penyeragaman harga iaitu RM7 sama dengan kadar tol di Jambatan Pulau Pinang lebih banyak kenderaan akan guna jambatan ini malah di sini lebih menjimatkan terutama dari segi masa dan minyak kerana tiada kesesakan," katanya.

Farizan berkata pengguna dinasihatkan sentiasa mematuhi setiap peraturan dan papan tanda yang di sediakan sepanjang laluan JSAHMS itu.

Sementara itu, rata-rata pengguna memberikan maklum balas positif terhadap inisiatif tersebut kerana ia dapat mengurangkan kos berikutan kadar tol yang di kenakan sama dengan jambatan pertama.

Mohd Ridzuan Kamarudin, 45, yang tinggal di Nibong Tebal berkata dia menggunakan Jambatan Pulau Pinang untuk ke tempat kerja di Bayan Lepas, dan terpaksa menempuh kesesakan jalan raya hampir setiap hari.

"Mulai Khamis ini saya boleh guna JSAHMS untuk pergi ke tempat kerja, kadar tol kini sama. Saya boleh kurangkan perbelanjaan tol dan minyak, lebih dekat dengan rumah saya dan jarang berlaku kesesakan," katanya.

- Bernama