Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kementerian Pendidikan tak patut cuci tangan isu Unimap, kata MIC

Kerajaan, khususnya kementerian pendidikan tidak patut cuci tangan berhubung kontroversi kertas peperiksaan hubungan etnik di Universiti Malaysia Perlis (Unimap), kata Putera MIC.

Ini susulan kenyataan kementerian itu semalam yang berkata ia tidak akan campur tangan dalam isu itu dan menyerahkannya kepada Unimap untuk diselesaikan, selaras dengan konsep autonomi universiti.

“Putera MIC menggesa KPM (kementerian pendidikan Malaysia) supaya bertindak dengan lebih bertanggungjawab dan tidak melepaskan tangan dengan alasan-alasan yang dilihat remeh dan tidak munasabah.

“Alasan bahawa KPM tidak dapat mencampuri urusan pentadbiran institusi pengajian tinggi tidak dapat diterima langsung memandangkan KPM adalah kuasa eksekutif yang telah dipertanggungajwabkan untuk memantau dan melaksanakan dasar pendidikan negara dan semua institusi pengajian tinggi tertakluk kepada pengelolaan KPM.

“Sudahlah kecuaian yang mungkin disengajakan oleh sesetengah pihak di UniMAP telah mengguris semangat perpaduan, tetapi apa yang lebih menyedihkan adalah kegagalan KPM menangangani isu ini dengan efisyen dan efektif dengan membiarkannya melarat,” kata Ketua Putera MIC Kebangsaan, S Padmarajah.

C Sivarraajh

Ahad lalu, Naib Presiden MIC C Sivarraajh mengkritik soalan peperiksaan universiti berkenaan yang menyifatkan pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik sebagai “ikon dunia Islam”.

Soalan itu berbunyi: Zakir Naik merupakan salah satu ikon dalam dunia Islam, beliau banyak berjasa dalam menyebarkan Islam yang sebenar dan mengikuti al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Beliau mampu berhujah dan mampu menjawab setiap pertanyaan yang diajukan kepadanya dengan baik. Namun begitu di Malaysia, beliau tidak lagi dibenarkan untuk menyampaikan dakwah. Pada pendapat anda sebagai rakyat Malaysia, mengapakah hal ini berlaku?

Soalan itu menyediakan pilihan jawapan yang membolehkan pelajar untuk memilih lebih daripada satu daripadanya.

Pilihan jawapannya ialah:

(1) Rakyat Malaysia yang malas mengambil tahu;

(2) Rakyat Malaysia yang mudah rasa terancam tanpa usul periksa;

(3) Rakyat Malaysia yang bersifat menuruti sahaja tanpa usul periksa;

(4) Rakyat Malaysia yang bodoh tentang agama masing-masing.

Padmarajah turut menggesa agar kertas peperiksaan itu dibatalkan.

“Putera MIC menggesa pihak Unimap untuk membatalkan kertas peperiksaan kursus Hubungan Etnik yang dilihat tidak munasabah dan di luar konteks perpaduan yang sering diwara-warakan oleh pemimpin negara.

“Ia dengan jelas bercanggah dengan prinsip pemeliharaan perpaduan seperti yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

“[...] Dengan memainkan isu Dr Zakir sebagai komponen dalam soalan peperiksaan ia dengan jelas mencerminkan kegagalan Unimap dalam fungsinya sebagai institusi pengajian awam yang bertanggungjawab,” katanya.

Dr Zakir Naik

Dr Zakir dilarang daripada menyampaikan ceramah selepas membuat komen kontroversi semasa berceramah di Kelantan pada Ogos.

Dalam ceramah itu, beliau mendakwa orang India di Malaysia dilayan dengan lebih baik berbanding kaum minoriti di India, tetapi mereka memilih untuk menyokong Perdana Menteri India, Narendra Modi, berbanding Dr Mahathir Mohamad.

Beliau turut meminta pengkritik yang memintanya meninggalkan Malaysia, untuk terlebih dahulu meminta “tetamu lama” dari kaum Cina untuk berbuat demikian.

Zakir bagaimanapun kemudian mendakwa kenyataannya telah diambil luar konteks.

Terdapat juga kontroversi lain dalam kertas peperiksaan itu, salah satunya yang menyentuh kaum India.

Soalan 12 dalam kertas sama pula berbunyi: Etnik ini berkulit hitam dan mereka juga terdapat di kawasan Asia seperti Malaysia dan Indonesia. Kaum apakah ini?

Pilihan jawapannya ialah:

(A) Negroid

(B) Red Indian

(C) Indian

(D) Bushman