DAP kecewa polis halang Kongres DJZ tapi benarkan Kongres Maruah Melayu
DAP hari ini melahirkan rasa kecewa dengan tindakan pihak polis menghalang Kongres Organisasi Cina yang dianjurkan Dong Jiao Zong bagi membincangkan isu Jawi.
Sebaliknya, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, pihak berkuasa itu membenarkan Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan dua bulan lepas.
"DAP rasa kecewa dengan pihak polis, halang perhimpunan yang dijalankan oleh Dong Jiao Zong. Sekiranya dalam Malaysia baru, kita percaya kepada kebebasan bersuara, tidak ada sebab mengapa perhimpunan ini dihalang.
"Contohnya bila Kongres Maruah Melayu dibenarkan maka ini (Kongres Organisasi Cina) pun harus dibenarkan.
"Mungkin ada pihak yang tidak setuju dengan pandangan dikeluarkan tapi itu adalah salah satu aspek Malaysia baru," katanya dalam sidang media selepas menghadiri program literasi kewangan hari ini.
Beliau berkata perkembangan terbaru mengenai pembelajaran Jawi di sekolah vernakular, termasuk tindakan pihak polis, akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet akan datang.
"Kami berpandangan bahawa apa yang dilakukan oleh polis adalah salah dan tidak sesuai kerana kami tidak dimaklumkan dan diberi pemahaman mengenai perkara ini," katanya.
Dia juga menuntut agar tindakan diambil terhadap kumpulan Melayu yang memberi respons kepada kongres Jawi oleh Dong Jiao Zong.
Jumaat lepas, polis mendapatkan injunksi mahkamah untuk menghalang Dong Jiao Zong daripada menganjurkan Kongres Organisasi Cina yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu, atas sebab ia dibimbangi menyebabkan kekacauan.
Pada 6 Okt, Kongres Maruah Melayu yang dihadiri Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad didakwa menyebarkan kenyataan berunsur perkauman terhadap bukan Melayu.
Pada persidangan hari ini, Lim berkata, kerajaan tidak berhasrat melaksanakan pembelajaran Jawi melalui tiga muka surat buku teks Bahasa Malaysia Tahun Empat.
Ini kerana, katanya, Jawi mempunyai sejumlah 37 abjad manakala buku teks berkenaan hanya memperkenalkan sebanyak 14 huruf Jawi.
Menurutnya, pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun Empa sekadar untuk memperkenalkan asal-usul Bahasa Malaysia.
Katanya, tiada sesiapa yang patut mempersoalkan buku teks Bahasa Malaysia apabila mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan.
Namun, kata Lim, kerajaan melonggarkan pendirian dengan masih membenarkan ibu bapa membuat keputusan mengenai pengajaran tulisan Jawi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai