Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Penganjur Kongres ulangi tuntutan jawi sebagai subjek pilihan

Penganjur Kongres Jawi Kebangsaan hari ini berkata mereka tidak mahu Jawi menjadi subjek wajib lulus, tetapi menyerahkan keputusan mengenai pembelajaran Jawi di sekolah rendah sebagai subjek pilihan kepada Kementerian Pendidikan.

Setiausaha NGO Seni Khat Action Team (Sekat), Arun Doraisamy berkata, peranan kumpulan itu selaku penganjur yang mengumpulkan pelbagai kumpulan bagi membantah pembelajaran Jawi di sekolah vernakular, hanya membuat cadangan mengenai perkara itu.

"Kami tidak mengambil alih tugas Kementerian Pendidikan.

"Mungkin Kementerian Pendidikan, menteri (Maszlee Malik) atau pihak lain mempunyai idea yang lebih baik, jadi terpulang kepada kementerian (untuk memutuskan)," katanya pada sidang akhbar setelah berakhirnya kongres di sebuah hotel di Petaling Jaya hari ini.

"Apa yang kita tahu ialah kita tidak mahu Jawi sebagai subjek lulus mandatori (bahasa Malaysia), itu sahaja," katanya ketika ditanya mengenai cadangan yang dibangkitkan oleh penceramah hari ini.

Sukatan mata pelajaran sekolah rendah pada masa ini tidak menawarkan mata pelajaran elektif.

Bagaimanapun aktivis Siti Kassim (di bawah), yang turut hadir pada kongres hari ini menegaskan kerajaan dan Kementerian Pendidikan mempunyai kuasa untuk membuat perubahan.

 "Mereka adalah kerajaan dan mereka boleh berbuat apa-apa. Jika tidak ada subjek elektif sekarang, mereka sentiasa boleh buat subjek elektif.

"Bagaimana pelaksanaannya benar-benar terserah kepada mereka - itu kerja mereka," katanya.

Siti bagaimanapun mengakui pentadbiran Pakatan Harapan sekarang lebih mudah didekati dan bersetuju mengadakan dialog dengan pengkritik mereka, berbanding kerajaan sebelum ini.

Arun juga berkata Kementerian Pendidikan menunjukkan tanda-tanda positif untuk melibatkan diri dengan semua pihak berkepentingan.

"Kami akan menasihati Kementerian Pendidikan mengenai bagaimana kita boleh membuat penyelesaian yang terpakai kepada semua pihak, termasuk Sabah, Sarawak, Cina, India dan Melayu," katanya.

Pada masa yang sama, Arun (gambar bawah) memberi amaran bahawa sekiranya perbincangan tidak dapat dicapai, Sekat dan kumpulan lainnya akan ke mahkamah untuk mempertahankan hak mereka.

 "Jika kita pergi ke mahkamah, ia akan jadi kes kolektif oleh Sekat dan NGO lain.

"Ini adalah isu nasional dan kami mahu mempunyai wakil bersama di mahkamah," tegasnya.

Persoalan mengenai kemungkinan tindakan undang-undang itu pada awalnya dibangkitkan oleh penyelaras Jawatankuasa Khas Pembelajaran Jawi Kuala Lumpur dan Selangor, Eddie Heng Hong Chai dalam ucapannya pada kongres itu.

"Kami mahu kementerian mendengar apa yang ada dalam fikiran kami. Jika mereka masih enggan mendengar kami dan membuat perubahan yang diperlukan, maka langkah terakhir kami adalah untuk mengambil tindakan melalui undang-undang.

"Ini bukan apa yang kita mahukan, tetapi apa yang kita harapkan ialah penglibatan dengan Kementerian Pendidikan, dan untuk mencapai persetujuan, tetapi jika itu gagal, maka kita akan membawa perkara itu ke mahkamah," katanya.

Sekat menganjurkan kongres hari ini dengan tujuan meminta kerajaan mengkaji semula keputusannya memperkenalkan Jawi dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia di sekolah vernakular Cina dan India.

Pengenalan jawi itu terkandung dalam tiga halaman buku teks Bahasa Malaysia untuk murid-murid Tahun 4 bermula tahun depan.

Pada masa ini, dasar Kementerian Pendidikan menetapkan pembelajaran itu bergantung kepada persetujuan daripada ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Jumaat lalu, polis Kajang memperoleh perintah mahkamah yang menghalang Dong Jiao Zong menganjurkan kongres mereka dengan tema serupa.

Gesaan untuk menganjurkan kongres berkenaan juga mendapat bantahan sekumpulan NGO Melayu yang mengancam untuk membuat perhimpunan balas.

Bagaimanapun NGO Gelombang Rakyat Malaysia, yang diketuai oleh pelakon  Ellie Suriati Omar dipelawa menyertai kongres yang diadakan pada hari ini.