Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Maritim tahan dua bot, rampas 600kg ikan di Bagan Datuk

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan tiga bot nelayan tempatan kelas B bersama 18 kru dan merampas 600 kilogram (kg) ikan dekat Sungai Belukang, Bagan Datuk, awal pagi tadi.

Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata ketiga-tiga bot nelayan tersebut yang melanggar syarat lesen ditahan ketika sedang menangkap ikan kira- kira 3.2 batu nautika dari muara Sungai Belukang, pukul 3 pagi tadi.

"Bot PKFB 1792 mempunyai seorang tekong warganegara Malaysia dan lima orang awak-awak warganegara Myanmar, manakala bot SLFA 5031 dan PKFB 1709 masing-masing mempunyai dua orang warganegara Malaysia serta empat orang warganegara Myanmar.

“Hasil tangkapan dianggarkan sebanyak 200 kg dalam setiap bot. Kesemua bot dan tekong termasuk awak-awak yang berusia di antara 23 hingga 48 tahun kemudiannya diiringi ke Pusat Tahanan Vesel untuk siasatan lanjut, "katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kes berasingan, Shahrizan berkata Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran bersama seorang tekong warga tempatan dan dua awak-awak warga Myanmar, berusia antara 28 hingga 30 tahun kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Katanya bot tersebut ditahan Bot Ronda Maritim Malaysia kira-kira 5.5 batu nautika dari Pulau Pasir Hitam pada pukul 4.30 petang semalam dan sebanyak 28 unit bubu naga serta 60kg ikan turut dirampas.

-Bernama