Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Duti antilambakan dikenakan terhadap besi, keluli tertentu dari 4 negara

Kerajaan memuktamadkan penyiasatan anti-lambakan mengenai besi atau keluli bukan aloi gegelung gulungan (CRC) dengan kelebaran melebihi 1300mm dari China, Jepun, Korea Selatan dan Vietnam dan memutuskan untuk mengenakan duti anti-lambakan afirmatif.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata kerajaan juga memutuskan dalam Penentuan Maklumat bahawa duti anti-lambakan afirmatif itu tidak akan dikenakan ke atas import tin mill black plate dan dagangan subjek untuk kegunaan akhir automotif dan transformer’s finwall.

“Pengenaan duti anti-lambakan terhadap import dagangan subjek dari negara-negara terbabit dijangka menangani isu amalan perdagangan yang tidak adil,” kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kementerian itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan menguatkuasakan kutipan duti anti-lambakan selama lima tahun mulai 25 Dis 2019 hingga 24 Dis 2024.

Siasatan itu dimulakan selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 susulan daripada petisyen yang difailkan oleh Mycron Steel CRC Sdn Bhd yang mewakili industri tempatan yang menghasilkan aloi gegelung gulungan.

Pempetisyen mendakwa dagangan subjek dari negara-negara yang didakwa itu diimport ke Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada harga yang dijual di pasaran domestik di negara-negara tersebut dan telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia.

- Bernama