Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kerajaan perlu tolak 'skuad sukarelawan' buru pendatang tanpa izin - NGO

Menjelang 31 Disember, tarikh akhir bagi pendatang asing tanpa izin (Pati) untuk meninggalkan Malaysia di bawah program pengampunan, sebuah NGO hak asasi manusia hari ini mengutuk keras tindakan yang dijangka dilakukan oleh pihak yang tidak ada kuasa.

Pengarah Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira berkata, sebarang percubaan oleh individu tanpa kuasa di bawah undang-undang untuk bertindak terhadap pendatang tanpa izin yang tidak dapat meninggalkan negara di bawah program 'Back For Good' menjadi risiko terhadap keselamatan awam.

"Malaysia tidak boleh membiarkan tindakan sebegitu. Ia hanya akan menimbulkan ketakutan terhadap dakwaan daulah terpendam menyokong kumpulan sedemikian," katanya kepada Malaysiakini.

Pereira berkata demikian ketika mengulas pengumuman yang bakal dibuat mengenai penubuhan skuad sukarelawan oleh Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bagi membantu operasi Jabatan Imigresen selepas tarikh akhir program pengampunan pada tengah malam 31 Disember.

"Kumpulan vigilante (sukarelawan yang mengawasi keselamatan) ini nakal dan tidak boleh dibiarkan. Ia hanya meletakkan keselamatan orang ramai dalam risiko," kata Pereira.

Putra dalam jemputan media pada 26 Disember untuk pengumuman secara rasmi di ibu pejabat Kuala Lumpur dijangka akan mengerahkan 1,300 sukarelawan di seluruh negara bagi tujuan tersebut.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Putra, Khairul Azam Abdul Aziz (gambar, bawah) berkata bahawa parti itu sebagai sebuah pertubuhan berdaftar, tidak akan membahayakan statusnya dengan melanggar undang-undang.

"Tak Betul. Putra adalah organisasi yang sah berdaftar. 

"Mana mungkin kami mahu menjalankan sesuatu yang boleh menjejaskan penubuhan kami yang bertentangan undang-undang?" Soalnya yang juga seorang peguam itu.

"Reaksi musuh Putra memang begitu. Mereka bimbang dengan pengaruh Putra yang semakin berkembang," tegas peguam itu.

Ditanya, adakah Putra telah memperolehi kebenaran daripada Jabatan Imigresen untuk membantu operasi pihak berkuasa itu, Khairul Azam berkata pada Isnin telah menulis secara peribadi kepada Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Mohd Daud dan meminta kebenaran untuk bermesyuarat dengannya.

"Sekarang kami menunggu tarikh untuk berjumpa beliau," tambahnya lagi.

Program 'Back For Good' tak cukup bagus

Pereira dalam pada itu menyatakan bahawa banyak Pati yang masih tinggal di Malaysia dengan kurang dari satu minggu sebelum tarikh program pengampunan akhir dan mereka terpaksa berada dalam keadaan tertekan.

"Saya bercakap beberapa daripada mereka. Mereka kata majikan mereka tidak membenarkan pergi (untuk daftar) kerana mereka masih perlu bekerja.

"And segelintir (majikan) tahan gaji (pekerja) mereka...," katanya.

"Dan juga, bukan semua mereka mempunyai wang yang mencukupi untuk balik awal, jadi mereka terpaksa bekerja sehingga tarikh akhir sebelum pulang," tambahnya.

Program pengampunan "Back For Good' bermula dari 1 Ogos hingga tengah malam 31 Disember.

Semua pendatang tanpa izin dijangka perlu mendapatkan dokumen perjalanan mereka sendiri, membeli tiket penerbangan mereka sendiri dan pergi ke pejabat Jabatan Imigresen terdekat untuk membayar kompaun sebanyak RM700.

Pelbagai laporan telah menunjukkan terdapat giliran yang panjang di pejabat Imigresen apabila semakin mendekati tarikh akhir, dengan beberapa pendatang mengadu mereka terpaksa membeli balik tiket penerbangan mereka, selepas tidak mendapat nombor pendaftaran.

Pada masa lalu, tindakan keras Imigresen berikutan berakhirnya program pengampunan telah memaksa pendatang yang tiada dokumen sah lari ke dalam hutan, terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak.

[Baca berita asal]