Sindiket seludup orang janji manis gaji lumayan
Janji manis untuk mendapat kerja dengan gaji lumayan tapi realitinya dikurung dan dijadikan buruh paksa atau pelacur.
Taktik itu bukan baru bagi sindiket pemerdagangan orang dan penyeludupan migran untuk mencari mangsa, terutama dari kalangan warga asing yang hidup susah di negara mereka.
Golongan yang terdesak untuk mengubah kehidupan adalah paling senang untuk dimanipulasi dan menjadi mangsa.
Apa yang dilakukan ialah menjanjikan pelbagai peluang pekerjaan dengan gaji lumayan bagi mengubah hidup mereka dan keluarga di negara asal.
Berdasarkan statistik Jabatan Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, rakyat Vietnam paling ramai diselamatkan tahun ini iaitu 384 orang, diikuti Indonesia (234 orang), Thailand (227), Bangladesh (71), China (60), dan negara-negara lain (123).
Apa yang mengejutkan ialah rakyat Malaysia sendiri turut menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang itu apabila seramai 54 orang diselamatkan tahun ini.
Mudah termakan janji
Ketua Penolong Pengarah D3, ATIPSOM Bukit Aman, SAC Fadil Marsus berkata bagi migran, ada yang diseludup masuk ke negara ini dan ada juga yang direkrut di negara asal dan dibawa masuk menggunakan pas lawatan sosial.
Kebanyakan mereka yang menjadi mangsa pemerdagangan orang dan penyeludupan migran itu berumur dalam lingkungan 16 tahun hingga 30-an.
“Golongan ini dianggap ‘mudah termakan janji’, mereka selalu menjadi sasaran sindiket kerana desakan hidup ingin mendapatkan pekerjaan di Malaysia.
“Ada yang datang secara sah dan sukarela, namun sebelum mereka memasuki negara ini, sindiket akan mendekati mereka dan menjanjikan peluang pekerjaan dengan gaji lumayan," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.
Fadil berkata modus operandi yang sering digunakan sindiket penyeludupan migran ialah dengan cara merekrut warga asing dari negara asal kemudian sindiket tempatan akan menyeludup masuk warga asing itu dengan mengenakan sejumlah bayaran.
“Ada mangsa yang dibawa masuk menggunakan pas lawatan sosial, kemudiannya ditawarkan pekerjaan tetapi berakhir dengan eksploitasi iaitu mangsa menjadi buruh paksa, gaji mereka diambil untuk membayar kos perjalanan ke Malaysia,” katanya.
Lebih malang lagi, katanya, ada kes yang melibatkan mangsa sindiket dikurung beramai-ramai sebelum dipaksa melakukan pekerjaan tanpa rela.
"Warga asing lelaki selalunya dikerah menjadi buruh paksa, manakala wanita dipaksa menjadi hamba seks. Gaji yang mereka perolehi pula akan disimpan selain tidak dibenar menghubungi keluarga di negara asal," katanya sambil menambah itu antara jenis eksploitasi terhadap migran.
Sejak Januari hingga 30 Nov lepas, unit ATIPSOM menyiasat 264 kes melibatkan pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran berbanding 281 kes pada tahun lepas.
"Sejumlah 194 kes pada tahun ini melibatkan eksploitasi seksual, 67 kes buruh paksa dan tiga kes melibatkan penjualan bayi.
Kami juga menahan 353 orang terdiri daripada majikan dan anggota sindiket serta menyelamatkan 1,153 mangsa terdiri daripada 1,123 wanita dan 30 lelaki," jelasnya.
Fadil berkata penyeludupan migran dan eksploitasi tidak kira warga tempatan atau asing adalah satu kesalahan di negara ini dan sindiket atau majikan yang didapati bersalah akan berhadapan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai