Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dong Jiao Zong setuju pandangan Anwar, tapi tetap teruskan kongres Jawi

Dong Jiao Zong mengalu-alukan seruan Presiden PKR Anwar Ibrahim agar semua pihak kembali ke ruang dialog berhubung pengajaran tulisan Jawi kepada murid-murid tahun empat di sekolah kebangsaan dan vernakular.

Bagaimanapun, kumpulan pendidikan Cina itu tetap bertegas untuk meneruskan hasrat menganjurkan kongres berhubung perkara itu.

Dong Jiao Zong sebelum ini menghantar jemputan media untuk kongres berkenaan yang dijadualkan pada 28 Disember di Kolej Universiti New Era, Kajang.

“Kami alu-alukan kenyataan presiden PKR. Kami juga bersetuju dengan cadangannya agar semua pihak menyelesaikan perselisihan menerusi ruang dialog.

“Pendirian kami tetap sama. Kami sanggup menganjurkan dialog atau berkomunikasi dalam cara rasional dengan mana-mana pihak, sebelum atau selepas (penganjuran) kongres 28 Disember nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dong Jiao Zong berharap agar dialog seumpama itu dapat mempromosikan persefahaman yang lebih baik di kalangan kumpulan etnik berbeza selain dapat menyelesaikan isu berkenaan.

 

Semalam, Anwar menggesa semua pihak termasuk Dong Zong - sama ada yang menentang mahupun yang menyokong - untuk tidak meneruskan penganjuran “sidang” berkaitan pengajaran tulisan Jawi.

Presiden PKR itu berkata beliau bimbang tindakan berkenaan akan “menghangatkan suhu politik dan kaum” di negara ini.

Satu lagi kongres, juga bagi membantah pengajaran tulisan Jawi, dijadual berlangsung pada 29 Disember. Ia dianjurkan oleh Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat).

Sementara itu, Dong Jiao Zong menegaskan pendiriannya bahawa lembaga sekolah harus dibenarkan untuk membuat keputusan tentang pengajaran tulisan Jawi di sekolah.

Kumpulan itu menganjurkan kongres bagi menzahirkan protes terhadap garis panduan terbaru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tentang perkara tersebut.

Tujuan penganjuran kongres itu adalah bagi meyakinkan kerajaan supaya membatalkan pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Garis panduan tersebut menyerahkan kepada ibu bapa untuk menentukan tentang pengajaran tulisan Jawi di sekolah. Ia menyatakan sekiranya lebih daripada separuh ibu bapa bersetuju, maka pengajarannya akan diteruskan di sekolah.

Minggu lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberi amaran bahawa kongres Dong Jiao Zong itu akan membawa kepada kekacauan.

[Baca berita penuh]