Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PAS akan gerakkan jentera bantu kempen Umno di Kimanis

PAS hari ini menyatakan sokongan dan akan membantu kempen BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen Kimanis, kata Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin turut mengesahkan presiden parti Islam itu, Abdul Hadi Awang akan hadir pada majlis pelancaran jentera BN pada 1 Januari depan.

"Di samping itu PAS akan menghantar pimpinan kanan parti terutama dari Sabah dan Sarawak untuk menghadiri hari penamaan calon pada 4 Januari 2020 sebagai sokongan kepada calon pembangkang dari BN.

"PAS juga akan menggerakkan jentera pilihan raya terutamanya dari kawasan-kawasan di Sabah untuk turun membantu calon BN dalam PRK ini bagi memastikan Kimanis kekal di tangan Pembangkang," katanya dalam satu kenyataan.

Takiyyuddin berkata persetujuan agar Umno bertanding di kerusi itu dicapai berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu yang memihak kepada calon daripada parti itu, Anifah Aman.

"PAS yakin Umno akan meletakkan calon yang paling sesuai sebagai langkah mempertahankan kerusi yang dipegang oleh BN sekian lama.

"Kemenangan BN dalam PRK Kimanis adalah amat penting bagi menguatkan lagi suara pembangkang di peringkat nasional sebagai ‘semak dan imbang’ (check and balance) khususnya dalam isu-isu melibatkan kepentingan rakyat dan Negeri Sabah," katanya.

Pada 14 September lalu, PAS dan Umno memeterai Piagam Muafakat Nasional yang antara lain menggariskan matlamat kerjasama - atau taawun siyasi - antara dua parti itu.

Ia selepas kerjasama tidak rasmi dua parti itu membawa kemenangan dalam tiga PRK berturut-turut iaitu di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

PRK Kimanis diadakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan keputusan PRU14 bagi kerusi parlimen itu.

Sehubungan itu kemenangan Anifah di kerusi berkenaan dibatalkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK berkenaan pada 18 Jan tahun depan dan tarikh penamaan calon pada 4 Jan manakala pengundian awal pada 14 Jan.