Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

LKIM sekat eksport ikan tertentu awal, pertengahan tahun depan

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan melakukan sekatan eksport ke atas bekalan spesies ikan popular dalam kalangan rakyat negara ini mulai 1 Jan sehingga 28 Feb tahun depan.

Pengerusi LKIM, Mohd Faiz Fadzil, berkata langkah itu dibuat bagi memastikan bekalan untuk spesies ikan terbabit mencukupi di pasaran negara ini dan harganya kekal berpatutan ketika musim tengkujuh serta menjelang Tahun Baharu Cina.

"Sekatan eksport adalah terhadap spesies ikan rakyat atau ikan yang popular dalam kalangan rakyat seperti ikan kembong, ikan bawal, ikan pelaling, ikan selar dan udang," katanya selepas merasmikan program Bazar Peduli Rakyat (BPR) di sebuah pasar raya di Tabuan Jaya, di Kuching, hari ini.

BPR yang merupakan kerjasama LKIM dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dibuat untuk membantu golongan B40 membeli barangan makanan - termasuk ikan - dengan potongan harga lima hingga 30 peratus.

Kata Faiz, setakat ini harga ikan di seluruh negara secara keseluruhan masih terkawal dan bekalannya juga mencukupi walaupun musim tengkujuh dan perayaan Krismas menjelang tiba.

Hal itu, katanya, kerana LKIM ada menyimpan bekalan ikan yang mencukupi bagi menghadapi musim itu.

Selain itu, Faiz berkata, ketika musim tengkujuh ini hanya nelayan pesisir pantai yang tidak menangkap ikan berikutan laut bergelora tetapi nelayan laut dalam iaitu di zon C dan C2 masih boleh turun ke laut.

"Jadi tidak seharusnya harga ikan melambung pada musim tengkujuh ini kerana bekalan ikan sentiasa ada. Setakat hari ini juga daripada laporan yang kami terima harganya adalah terkawal," katanya dan berharap orang tengah dan peniaga tidak menaikkan harga ikan.

Selain itu, bagi terus mengawal harga ikan di pasaran, LKIM juga akan melakukan sekatan eksport ikan bermula 15 April sehingga 15 Jun bersempena ketibaan Ramadan dan Aidilfitri.

Antara dalam senarai sekatan eksport ikan pertengahan tahun depan ialah ikan kembong, ikan selar, ikan selayang atau sardin, ikan bawal hitam dan udang.

- Bernama