Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Erdogan: Pakistan tak sertai Sidang Kemuncak KL kerana ugutan Arab Saudi

Sejak berlangsungnya Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL), Arab Saudi yang tidak menghantar wakil dilihat terguris dengan penganjuran sidang negara-negara Islam berkenaan.

Beberapa laporan media sebelum ini menyatakan Arab Saudi memandang penganjuran itu sebagai satu ancaman kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), selain tidak gembira dengan kehadiran ‘musuh-musuhnya’ - Iran dan Qatar.

Pada masa sama, penarikan diri Pakistan pada saat-saat akhir juga menarik perhatian banyak pihak.

Meskipun media Pakistan mendakwa penarikan diri itu dibuat selepas mesyuarat diadakan bersama Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammad Salman, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Imran Khan (perdana menteri Pakistan) mungkin mempunyai sebab tersendiri untuk menarik diri.

Bagaimanapun, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan semalam berkata ketidakhadiran Pakistan sememangnya disebabkan tekanan daripada Arab Saudi.

“Malang sekali, kita lihat Arab Saudi beri tekanan kepada Pakistan. Sekarang, ada janji yang diberi oleh negara itu (Arab Saudi) kepada Pakistan berhubung bank pusat. Pun begitu, lebih daripada (janji-janji) itu, terdapat empat juta rakyat Pakistan bekerja di Arab Saudi.

“Mereka (mengugut) menghantar pulang (rakyat Pakistan) dan mengambil semula pekerja dari Bangladesh,” kata Erdogan seperti dipetik media Turki, Daily Sabah.

Erdogan mendakwa taktik digunakan Arab Saudi adalah dengan mengugut untuk mengeluarkan wang mereka dari bank pusat Pakistan, yang menyebabkan Pakistan terpaksa akur dengan ugutan tersebut.

Media sebelum ini melaporkan bank pusat Pakistan menerima AS$1 bilion yang merupakan bahagian ketiga dan terakhir bayaran program sokongan daripada Riyadh.

Ergodan turut memberi gambaran bahawa Indonesia berdepan ugutan yang sama.

Sebelum berlangsungnya Sidang Kemuncak KL, Mahathir pada 17 Disember dilaporkan telah menghubungi Raja Salman Abdulaziz Al Saud bagi menjelaskan persidangan itu bukanlah untuk membina blok baru menggantikan OIC, dengan menyifatkan Malaysia “terlalu kecil” untuk melakukan perkara sebegitu.

Hari ini pula, Mahathir mengakui ada pihak yang salah faham dengan niat penganjuran Sidang Kemuncak KL- sama ada dengan sengaja atau tidak - dan ada yang berasa sangsi dan terhina.

Biarpun tidak menyebut secara langsung, ia dipercayai merujuk kontroversi yang timbul ekoran kritikan Arab Saudi terhadap pengajuran persidangan tersebut.

Sidang Kemuncak KL 2019 berlangsung sejak 18 hingga 21 Disember (hari ini) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, bagi membincangkan hala tuju dunia Islam bertemakan 'Peranan Pembangunan dalam Akses Kedaulatan Negara'.

Sidang Kemuncak tersebut memberi tumpuan kepada tujuh teras utama iaitu pembangunan dan kedaulatan negara, integriti dan tadbir urus yang baik, kebudayaan dan identiti, keadilan dan kebebasan, keamanan, keselamatan dan pertahanan, perdagangan dan pelaburan serta teknologi dan tadbir urus Internet.

Ia turut menyentuh isu seperti Islamophobia, penahanan umat Islam di seluruh dunia dan penghijrahan besar-besaran umat Islam akibat perang saudara.

Mahathir hari ini menyuarakan kebanggaannya apabila sidang itu menyaksikan 18 pertukaran instrumen berjaya diadakan, meliputi pelbagai bidang seperti teknologi tinggi, kerjasama media, keselamatan makanan, kepimpinan belia dan program pertukaran.